micpas-681x511
Barisan kepimpinan Pas dan MIC bergambar bersama selepas pertemuan bersejarah kedua parti hari ini.
KUALA LUMPUR – Pas menyambut baik keterbukaan MIC yang menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dalam agenda kebajikan rakyat dan keharmonian kaum dalam negara.

Kesediaan itu dinyatakan Presiden MIC, Senator Tan Sri S.A Vigneswaran dalam pertemuan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung Pas Pusat di sini hari ini.

Menurut Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman, dalam pertemuan itu, mereka berkongsi pandangan mengenai kemajmukan kaum dan kepelbagaian agama dalam negara serta keperluan untuk memberi kefahaman sebenar demi mewujudkan keharmonian antara agama.

Katanya, pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua DHPP, Balasubramaniam, manakala MIC diwakili Timbalan Presidennya, Senator Daruk Seri S.K. Devamany dan Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarrajah Chandran.

“Presiden MIC menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama dalam pelbagai aspek demi kepentingan bersama, termasuk kesediaan untuk memberi sokongan kepada calon Pas dalam PRK Seri Setia.

“Presiden Pas merakamkan setinggi penghargaan kepada S.A Vigneswaran di atas pertemuan yang bersejarah ini serta menyatakan kesediaan untuk meneruskan usaha dialog antara kaum dan agama, demi mewujudkan perubahan yang lebih baik dalam negara,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini. – MalaysiaGazette