KUALA LUMPUR -  Ura-ura 40 ahli Parlimen Umno akan meninggalkan parti dan menyertai Bersatu dianggap sebagai separuh benar," kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam.

Menurutnya, gerakan meninggalkan Umno ini antara lain bertujuan menghapuskan legasi kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas pendahulunya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin berkenaan penghijrahan 40 ahli Parlimen Umno ini boleh dikatakan sebagai separuh benar.

"Saya amat bersedih dengan perkembangan yang berlaku ini. Mereka sanggup keluar untukk selamatkan diri daripada tindakan undang-undang dengan mengorbankan Zahid dan Najib yang banyak berjasa kepada mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Dengan kesal, Lokman menyifatkan tindakan ahli -ahli Parlimen ini sangat mementingkan diri  tanpa memikirkan jerih payah akar umbi yang berusaha  mengukuhkan semula Umno.

"Kelompok yang terdesak ini sekali lagi mewujudkan perpecahan dalaman parti yang dahsyat.

"Memang ada pertemuan sulit  dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ataupun wakilnya tetapi mereka ada perjanjian yang meletakkan syarat untuk keluar beramai-ramai bukan sedikit demi sedikit agar agenda kerjasama antara Dr Mahathir dan ahli Parlimen Umno dapat diwujudkan," dedahnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah pula hanya berkata, tokoh wartawan veteran itu bebas berkata apa sahaja.

Hari ini, dilaporkan kira-kira 40 ahli Parlimen daripada Umno dikatakan akan keluar parti dan menyertai Bersatu.

 A Kadir berkata, mereka sudah pun beberapa kali berjumpa Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan tertinggi parti secara berkumpulan atau perseorangan membincangkan perkara itu.