KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakui tidak faham dengan kemahuan Pas walaupun beliau menunjukkan bukti Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangan awamnya seperti diminta parti itu sebelum ini.

Menurutnya, beliau menjadi serba salah semasa membantu Kelantan dengan Pas terus menyalahkan setiap tindakan yang dilakukannya.

"Anda cabar saya tunjuk bukti, saya tunjuk buktilah.

"Kalau saya tak tunjuk bukti salah, tapi selepas saya tunjuk bukti, itu pun salah. Buat pun salah, tak buat pun salah.

"Dah tunjuk bukti yang mereka cakap sendiri mereka perlukan bantuan untuk membayar gaji, dan saya luluskan juga. Kerajaan juga luluskan. Luluskan pun kena marah," katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Sebelum ini, Guan Eng mendedahkan surat daripada kerajaan Kelantan yang memohon pendahuluan daripada Kementerian Kewangan untuk membayar gaji penjawat awamnya.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagaimanapun membidas tindakan Guan Eng itu dan menyifatkan tindakan mendedahkan surat rasmi kerajaan Kelantan itu tidak elok dan melanggar nilai moral

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan beri pinjaman RM22.5 juta kepada Kelantan]

Kata Guan Eng, beliau juga berasa hairan apabila dituduh tidak memiliki moral yang baik oleh Abdul Hadi kerana menunjukkan surat ditulis oleh Kerajaan Kelantan kepada kementerian.

"Macam saya lakukan dosa (kerana) bercakap benar," katanya.

Namun, beliau akan tetap meluluskan pinjaman kepada Kelantan sebagai memenuhi tanggungjawabnya sebagai menteri.

"Kalau ada keperluan, kita akan tetap akan luluskan, walaupun apabila diluluskan saya kena maki hamun.

"Saya buat begitu kerana kita tak mahu lihat mereka (kakitangan awam Kelantan) tak ada gaji.
"Ini bukan sikap Kerajaan Persekutuan," katanya.