Rafizi hantar surat minta Najib isytihar harta
SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli menghantar satu surat
kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengandungi
cadangan agar pemimpin nombor satu negara itu mengisytiharkan harta.
Dalam surat bertarikh 19 Disember dan dihantar ke Pejabat Perdana
Menteri itu, Mohd Rafizi berkata, cadangan itu dapat menyelesaikan
masalah ketiadaan peruntukan undang-undang untuk menahan dan menyiasat
ahli politik, menteri atau pegawai tinggi kerajaan yang hidup mewah.
“Jika Datuk Seri benar-benar sayangkan negara, mengasihani rakyat dan
takut kepada ALLAH SWT, Datuk Seri sepatutnya tidak akan teragak-agak
menjadi orang pertama mengisytiharkan harta mengikut kaedah ini.
"Ia bukan sahaja akan menjadi teladan yang bakal diikuti semua orang, ia boleh bantu membersihkan nama Datuk Seri dan keluarga.
“Oleh itu, saya minta agar Datuk Seri merintis usaha ini dengan turut
sama menyertai saya sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Parit
Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa yang telah mengisytiharkan harta
kami di bawah kaedah ini,” katanya.
Menurut beliau, cadangan Najib memperkenalkan Akta Pendanaan Politik
bagi membanteras rasuah dalam politik dengan alasan mengawal sumbangan
politik kepada parti politik, tidak akan berkesan.
“Malah, saya yakin ia akan menjadi senjata yang digunakan Datuk Seri
sendiri untuk menindas mana-mana pihak (bukan sahaja parti politik) yang
berani menegur Datuk Seri. Kaedah paling berkesan ialah dengan
mengisytiharkan harta secara terperinci setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya ada sebarang penipuan atau harta tidak
diisytiharkan, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara, Suruhanjaya
Sekuriti atau Lembaga Hasil Dalam Negeri boleh menyemak pengisytiharan
tersebut.
Menurutnya, beliau turut menulis surat sama kepada Ketua Hakim Negara,
hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Peguam Negara, Ketua Polis Negara,
Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Setiausaha
Negara, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-ketua Pengarah
agensi perkhidmatan awam bagi mengisytiharkan harta dengan kaedah ini.
“Saya turut salinkan surat saya kepada Datuk Seri ini kepada mereka
supaya mereka sedar harapan dan kehendak rakyat ke atas mereka,”
katanya.
2 orang berkata:
Tolong Pakkaramu Tuan Persiden teruk kena kutuk...tolong jawab dgn fakta jgn dgn auta.
Org tak kutuk. Orang cerita peristiwa sebenar yg telah berlaku. Tolong betulkan ayat anda.
Post a Comment