Siapa bakal PM jika BN tumbang?
KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam terpaksa menerima
kenyataan bahawa masa masih belum mengizinkan beliau bebas daripada
hukuman penjara.
Banyak perancangan dan impian untuk beliau kembali aktif dalam politik
kini perlu dilupakan seketika sehinggalah pertengahan 2018 apabila
dibebaskan kelak.
Semalam, bekas timbalan perdana menteri itu yang mengemukakan
permohonan menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang menjatuhi
hukuman penjara lima tahun ke atasnya bagi kesalahan meliwat, Mohd
Saiful Bukhari Azlan ditolak Mahkamah Persekutuan.
"Itu bukan penamat segala-galanya," kata Anwar semalam. Namun secara
realitinya, Anwar yang kini sudah menjangkau usia 69 tahun perlu
menyedari usia yang semakin lanjut serta tenaganya yang terhad akan
menjadi halangan untuk beliau terus bergiat cergas dalam dunia politik.
Sekiranya Anwar bebas pada pertengahan 2018, usianya telah mencecah 71
tahun. Ini bermakna beliau boleh bertanding semula dalam PRU setelah
berusia 76 tahun kerana mengikut undang-undang, seseorang pesalah hanya
boleh menjadi calon pilihan raya setelah lima tahun bebas daripada
hukuman penjara.
Malahan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah
mengakui Anwar sudah terlalu tua untuk menjadi perdana menteri sekiranya
BN hilang tampuk pemerintahan.
“Saya rasa dia sudah terlalu tua,” kata Mahathir ketika ditemu bual oleh The Australian dalam satu wawancara.
“Apabila saya berumur dalam 70-an, saya buat pengumuman bahawa saya
tidak lagi boleh jadi PM pada usia 80, jadi saya nyatakan bahawa saya
akan letak jawatan dan saya lakukannya sebelum saya berumur 80 tahun,”
kata Mahathir yang sudah pun berusia 91 tahun.
Jadi, setelah kehilangan Anwar, siapakah calon yang paling layak menjadi perdana menteri sekiranya BN kalah dalam PRU14?
Ketika Pas dilihat semakin akrab dengan BN, Pakatan Harapan seperti
menerima suntikan semangat baharu apabila secara rasmi mencapai kata
sepakat dengan Bersatu dengan membentuk pakatan pilihan raya bagi
memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN.
Namun timbul kesangsian ramai kerana sehingga hari ini masih belum
nampak adanya calon yang berkelayakan daripada Pakatan Harapan untuk
diangkat menjadi calon perdana menteri sekiranya BN benar-benar tumbang
pada pilihan raya akan datang.
Apabila ketiadaan pemimpin yang berwibawa daripada Pakatan Harapan,
dengan sendirinya tumpuan kini terarah pemimpin Bersatu sebagai perdana
menteri dalam Kabinet bayangan mereka.
Namun sanggupkah pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan seperti Datuk Seri
Dr Wan Azizah Ismail, Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang menyerahkan jawatan
berkenaan kepada parti baharu dan bersifat parti serpihan Umno itu?
Mengikut perjanjian antara Pakatan Harapan dan Bersatu baru-baru ini,
mereka telah bersetuju untuk mewujudkan gabungan dengan tujuan membentuk
kerajaan selepas pilihan raya. Dengan ini jelas pemimpin dari Bersatu
mempunyai peluang untuk menjadi 'ketua' sekali gus berhak memegang
jawatan perdana menteri.
Sama ada setuju atau tidak, pemimpin Bersatu mempunyai peluang cerah
dilantik sebagai calon perdana menteri untuk Pakatan Harapan, dan antara
calon yang terlintas dalam fikiran semua ialah presidennya, Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Barangkali agak pahit untuk pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan menerima
hakikat ini. Apa tidaknya, setelah sekian lama berjuang sebagai parti
pembangkang, tidak seorang pun daripada mereka ini mampu muncul sebagai
pemimpin yang berkelayakan menjadi calon perdana menteri.
Untuk menantikan kebebasan Anwar dari penjara, sudah tentu ia bukan
satu strategi yang bijak. Daripada menghabiskan masa yang sia-sia
semata-mata inginkan Anwar, apakah lebih baik bagi Pakatan Harapan
menamakan segera Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.
Untuk menghadapi pilihan raya, Pakatan Harapan selain ingin satu lawan
satu dengan BN, mereka juga mesti meyakinkan rakyat bahawa untuk
membentuk kerajaan baharu, calon perdana menteri daripada pembangkang
juga adalah pemimpin yang disokong dan diterima ramai serta mampu
memimpin negara dengan lebih baik.
Pakatan Harapan mungkin masih harapkan Pas, tetapi sudah tiba waktunya
untuk mereka segera lupakan Anwar. Tanpa Anwar, pakatan pembangkang ini
tetap berpeluang bentuk kerajaan baharu.
Pakatan Harapan tidak akan rasa rugi dan malu sekiranya pilih Muhyiddin
menjadi calon perdana menteri, sebaliknya mereka patut rasa malu kerana
gagal mempunyai calon perdana menteri sedangkan beriya-iya mahu rampas
kerajaan daripada BN.
DAP telah lama menjadi pembangkang. Begitu juga dengan PKR pun hampir
18 tahun lawan BN. Amanah dan Bersatu yang belum setahun jagung mungkin
masih terlalu mentah hadapi ujian getir hidup sebagai parti pembangkang.
Namun gabungan lama dan baharu ini sekiranya bersatu-padu menyusun langkah, tidak mustahil kerajaan baharu milik mereka!
1 orang berkata:
cách chọn ghế tập tạ
Post a Comment