Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

MANGSA KARAM TERUS DIJUMPAI

Satu lagi mayat mangsa karam ditemui
bot karam
Anggota pasukan penyelamat mengangkat satu lagi mayat ditemui pada hari kelima operasi menyelamat mangsa bot karam, hari ini - Foto Bernama
 
HUTAN MELINTANG - Pasukan mencari dan menyelamat menemui satu lagi mayat mangsa bot karam di perairan Sabak Bernam hari ini menjadikan jumlah angka korban terkini tragedi itu sebanyak 62 orang.

Pengarah Operasi Daerah Maritim Klang, Komander Maritim Mohamad Faaiz Mohd Noor berkata, mayat lelaki itu ditemui anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) kira-kira 3.30 petang.

"Pesawat udara Maritim menerima maklumat bahawa satu mayat ditemui kira-kira enam batu nautika dari lokasi kejadian. Kita masih lagi menemui saki baki mangsa yang kita jangkakan akan bertambah dalam jumlah yang kecil," katanya pada sidang akhbar di Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat di Jeti Hutan Melintang di sini.

Hari ini masuk hari kelima misi mencari dan menyelamat mangsa bot karam dilakukan.

Mohamad Faaiz berkata, mayat itu yang tiba di Jeti Hutan Melintang kira-kira 5.30 petang dan akan di hantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, identiti seorang daripada 62 mangsa yang terkorban telah dikenal pasti melalui pengecaman anggota keluarganya.

Beliau berkata, mayat berkenaan yang kini berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh masih belum dituntut.

"Tujuh mangsa telah dituntut oleh keluarga masing-masing dan dalam perjalanan di bawa pulang ke Indonesia, manakala lima lagi mangsa akan dituntut anggota keluarga mereka sama ada petang ini atau pagi esok," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, sehingga kini 29 mayat telah menjalani proses bedah siasat iaitu 23 di HRPB serta enam di Hospital Teluk Intan.

"Sebanyak 10 mangsa di Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam selesai menjalani proses bedah siasat sementara 23 mangsa di HKL dalam proses bedah siasat.

"Kita juga mendapat maklumat dari HKL bahawa ada satu mayat ibu mengandung yang berada di sana (HKL). Namun maklumat lanjut mengenai usia kandungannya masih belum diperolehi," kata Mohd Shuhaily.

Usaha mencari dan menyelamat yang bermula sejak Khamis lepas membabitkan 338 anggota daripada tujuh agensi antaranya Maritim, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Sehingga hari ini, pasukan mencari dan menyelamat menemui 62 mayat mangsa iaitu 23 wanita serta seorang kanak-kanak perempuan dan 38 lelaki.

Sebanyak 20 lagi termasuk seorang wanita terselamat selepas bot yang membawa kira-kira 80 penumpang itu karam di perairan Selangor pada pagi Khamis lalu.

Bot sepanjang 40 kaki itu karam ketika dalam perjalanan dari Kuala Sungai Bernam menuju Tanjong Balai, Indonesia.

Insiden berlaku pada kedudukan sembilan batu nautika di barat daya Tanjong Sauh. - Bernama

DAP NAK BERMUSUH DENGAN PKR PULAK !!!


 DAP tidak akan berbaik dengan Pas

Lim Guan Eng
Guan Eng


GEORGETOWN - DAP tidak akan berbaik dengan Pas buat masa ini walaupun Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berhasrat meneruskan kelangsungan kerjasama politik dengannya dalam gabungan PR 2.0.

‎Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, sama ada DAP akan bersetuju dengan cadangan itu tidak perlu diulas lagi kerana Pas sudah menyatakan hasratnya untuk melawan DAP dalam PRU14.
‎
“Persoalan sama ada DAP akan menyertai PR 2.0 jika Pas turut serta bukan lagi menjadi persoalan.
‎
“Secara logiknya, anda sendiri boleh fikir, bagaimana DAP boleh  duduk dalam satu pakatan jika Pas sudah umum akan lawan DAP? Ia  tidak lagi menjadi isu dan sudah terjawab," katanya kepada media hari ini.
‎
Beliau berkata, pada masa ini, tiada jalan atau peluang untuk kedua-dua parti itu berbaik semula.
‎
“Pas yang memulakan dahulu, bukan DAP yang putuskan hubungan. Mereka yang putuskan hubungan dengan kita, sekarang mereka kata nak lawan DAP pula. Saya tidak nampak untuk kita berbaik untuk masa ini.
‎
“Sama ada DAP akan bermasalah apabila PKR mengalukan Pas dalam PR 2.0, itu sepatutnya ditanya pada Azmin selepas Pas umum mahu lawan DAP,” katanya.
‎
Terdahulu, Mohamed Azmin berkata, kerjasama akan diteruskan dengan semua parti politik yang komited dengan agenda bersama iaitu membawa perubahan dalam negara sejajar hasrat yang disuarakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
‎
Mohamed Azmin turut mengingatkan bahawa musuh PR hanyalah Umno dan BN.

TENTANG UNDI TAK PERCAYA


Undi tidak percaya PM hanya keputusan Speaker

Tan Sri Pandikar Amin Mulia
Tan Sri Pandikar Amin Mulia


KUALA LUMPUR - Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, beliau akan memutuskan sama ada akan membenarkan usul bagi undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri jika dan bila ia dikemukakan kepadanya.

Pandikar Amin menegaskan hanya Speaker Dewan Rakyat boleh menerima atau menolak sesuatu usul.


"Tiada menteri yang boleh menolak apa-apa (usul) termasuk Perdana Menteri.


Yang berkuasa hanyalah Speaker," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Perhimpunan Ahli Parlimen Wanita Antara Parlimen Asean.


Ditanya sama ada terdapat usul terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata: "Bila Parlimen mengadakan sesinya?".


(Dewan Rakyat sedang berehat dan akan hanya bersidang semula pada 19 Oktober).


Tentang apa bentuk keputusannya, beliau berkata: "Saya akan seberangi jambatan bila tiba padanya".


Pemimpin-pemimpin Pembangkang dilaporkan mahu mengemukakan usul tidak percaya terhadap Najib pada sidang parlimen akan datang. - Bernama

MUHYIDDIN BERANI

Muhyiddin hadir mesyuarat khas Biro Politik Umno
Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin.
 
SHAH ALAM - Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dimaklum hadir ke mesyuarat khas Biro Politik Umno yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini .
 
"Yes (ya), Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir, masih di PMO," menurut sumber dalaman menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengesahkan kehadiran Muhyiddin kepada Sinar Online, hari ini.  
 
Menurut sumber itu, bekas Timbalan Perdana Menteri itu masih lagi berada di PMO, ketika ini. 
 
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dilapor mengadakan satu perjumpaan khas dengan Biro Politik Umno sebagai persediaan menghadapi mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) pada Rabu.
 
 
Dalam satu surat jemputan bertarikh 2 September yang ditandatangani Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menyuarat tersebut dijadual berlangsung jam 9.30 pagi ini.
 
Mesyuarat kali ini dilihat diadakan ketika spekulasi pemecatan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertiup kencang dan kemelut dalaman Umno yang semakin meruncing.
 
Selain nama Muhyiddin dan Shafie, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Hamidah Osman dan Datuk Jumat Idris dikatakan akan disingkirkan daripada Umno pada mesyuarat Rabu ini.
 
Portal The Malaysian Insiden yang memetik sumbernya dalam laporan sebelum ini menyebut, mesyuarat pada 1 September lalu tidak memanggil Muhyiddin dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal. 
 
Namun kali ini, kedua-dua pemimpin itu dilapor menerima surat jemputan menghadiri mesyuarat hari ini. 

PAS LAWAN DAP PASAI DAP LAWAN SAMA PAS, BIASA LA POLITIK

Hasrat Pas lawan DAP dalam PRU14 sudah dijangka
Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
 
GEORGETOWN - Hasrat Pas untuk meletakkan calonnya untuk bertanding kerusi yang ditandingi DAP pada PRU14 sudah dijangka.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya tidak terkejut dengan keinginan Pas kerana ia selari dengan dasar baru parti Islam itu.

“Saya tidak terkejut dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana ia selari dengan dasar baru Pas iaitu menjadikan DAP musuh utama dan bukannya BN atau Umno. Ini memang dalam jangkaan DAP.

"Dalam pilihanraya yang bersistemkan demokrasi, mana-mana parti politik berhak untuk bertanding dan sekiranya Pas berasa yakin,maka DAP akan terima cabaran dengan rendah diri,” katanya kepada media.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri berkata, pihaknya meminta agar rakyat memberi sokongan kepada parti yang berkredibiliti.

"Kita harap sokongan rakyat biarlah berdasarkan prestasi yang ditunjukkan DAP iaitu berjaya menjalankan urus tadbir yang baik dan pentadbiran yang bersih dengan mencatatkan lebihan belanjawan setiap tahun.

“Pulau Pinang bukan negeri bankrap seperti negeri-negeri tertentu. Perkara-perkara inilah yang akan dinilai oleh rakyat. Sekiranya Pas mahu bertanding, mereka mungkin ada percaturan untuk menang, itu terpulang kepada mereka,” katanya.

Guan Eng turut mempelawa Pas untuk bertanding di kawasannya iaitu Dun Air Putih sebagai permulaan dalam merealisasikan hasrat parti berkenaan.

“Saya tidak pasti sama ada mereka benar-benar nak lawan atau sekadar nak kacau daun sahaja bagi memberikan kelebihan kepada BN. Saya rasa rakyat akan dapat menilai dan membuat keputusan sendiri. DAP sentiasa berusaha untuk memenangi setiap undi.

“Sekiranya Pas benar-benar mahu bertanding di kawasan DAP, saya menjemput mereka bermula dengan bertanding di kawasan saya, di Dun Air Putih. Pelawaan  ini bukan bermakna kita ada jaminan akan menang tetapi ia bukti kita terima cabaran Pas dengan rendah diri,” katanya.

Menurutnya, DAP tidak mempunyai niat yang sama dengan Pas iaitu meletakkan calonnya di kawasan yang ditandingi Pas.

“DAP tidak akan ambil pendekatan yang sama, kita tidak akan bertanding di kawasan Pas. Kita tidak ada cita-cita yang begitu besar (untuk bertanding di kawasan Pas) kerana musuh utama adalah BN dan Umno serta rasuah.

“Nampaknya perjuangan Pas sudah jauh terpesong, musuh mereka bukan BN atau Umno tetapi nampaknya untuk memberi kelebihan kepada Umno dan BN dengan bertanding di kawasan DAP. Sekiranya itu dasar baru Pas, DAP terima cabaran itu,” katanya.

Terdahulu, Abdul Hadi mengesahkan pihaknya kini sedang meneliti mengenai rancangan meletakkan calonnya di kawasan DAP termasuk pemilihan calon yang difikirkan sesuai bertanding di kerusi berkenaan.

Abdul Hadi berkata, pihaknya juga akan meletakkan calon bukan Islam menerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas bagi mewakili parti untuk kerusi berkenaan.

ILAHI ANTA MAQSUDI

Solat hajat elak Muhyiddin dipecat Umno

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
 
SKUDAI - Lebih 10,000 ahli akar umbi Umno negeri ini dijangka menghadiri Solat Hajat Perdana yang diadakan esok bagi mendoakan tiada pemecatan terhadap Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, Rabu ini.

Ahli Umno Cawangan Presint Bakti, Hashim Abdullah berkata, solat hajat itu merupakan inisiatif ahli akar umbi Umno Johor dan akan berlangsung secara serentak selepas waktu solat Maghrib di lebih 30 masjid dan surau seluruh negeri Johor.

Katanya, rata-rata ahli akar umbi Umno negeri itu berharap tiada pemecatan dibuat terhadap mana-mana pemimpin kerana bimbang akan menyebabkan perpecahan lebih teruk dalam parti itu.

TEPIS, JANGAN TAK TEPIS, SUDAH JELAS DAP MENENTANG HUDUD




07 September 2015 HUDUD : TMI PUTAR BELIT KENYATAAN MAT SABU KENYATAAN MEDIA UNTUK SIARAN 7hb SEPTEMBER 2015


‎ Hari ini, 6 September lebih kurang jam 3 petang, telah berlangsung satu dialog sempena pelancaran Parti Amanah Negara di Hotel Grand Continental di Kuching, Sarawak.

Dalam dialog tersebut saya ditanya tentang pendirian Parti Amanah Negara berkenaan hudud jika di bawa ke Parlimen. 

Saya menyatakan bahawa, kami mengambil pendirian sebarang Rang Undang-Undang (RUU) apa sekalipun termasuk undang-undang syariah, hendaklah dibincangkan terlebih dahulu di atas konsep pegangan perjuangan kami iaitu memlih secara demokrasi, konsultasi (perundingan) dan mengambilkira Perlembagaan negara. 

Oleh itu, sekiranya isu ini timbul pada masa akan datang,  persetujuan di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat 2.0 jika ianya terbentuk nanti, hendaklah dibincang bersama terhadap sebarang pindaan perlembagaan atau hal-hal yang terlalu penting, sama ada untuk bersetuju ataupun tidak. 

Kekeliruan yang timbul akibat laporan daripada The Malaysian Insider seolah-olah meletakkan bahawa saya akan mengarahkan anggota parlimen daripada Parti Amanah Negara untuk menolak RUU hudud jika dikemukakan. 

Saya jelaskan sekali lagi, sebarang persetujuan atau penentangan hendaklah dibincang bersama dalam komponen Pakatan Rakyat 2.0. untuk bersetuju atau tidak, di atas konsep persetujuan bersama yang menjadi pegangan kepada kami. 

Sehubungan itu, saya berharap pihak berkaitan segera memperbetulkan laporan berkenaan, agar ia tidak menimbulkan kekeliruan dan salah anggap di kalangan masyarakat terhadap pendirian kami. 

HJ MOHAMAD BIN SABU Pengerusi Parti Amanah Negara 6 September 2015 


sudah kira tolak dan campor, mereka rugi besar jika PAS tak serta PR 2.0

Tu la lain kali jangan ghairah sangat nap memburu kemenangan, mulut busuk
kata nak tndang PAS, PAS akan jadi kera sumbang, PAS akan hancur dan lenyap,
tu pasal jika nak berpolitik jangan sombong dan angkoh, belajarlah cara nak berpolitik 
baik-baik - Pak Karamu


Sokong Pas sertai PR 2.0
Azmin Ali
Azmin Ali

PETALING JAYA - Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali teguh mempertahankan pendirian parti yang berhasrat meneruskan kelangsungan kerjasama politik dengan Pas dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) 2.0.

Menurutnya, kerjasama akan diteruskan dengan semua parti politik yang komited dengan agenda bersama iaitu membawa perubahan dalam negara sejajar hasrat yang disuarakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menteri Besar Selangor itu turut mengingatkan bahawa musuh PR hanyalah Umno dan BN.

“Dan kalau ada pihak, termasuk Pas yang terus komited dengan agenda bersama PR, maka sudah tentulah kita akan bekerjasama dengan Pas dan mana-mana parti politik yang mempunyai dasar perjuangan sealiran dengan PR.

“Ini telah ditegaskan berulang kali,” katanya kepada media selepas menghadiri PJ Half Marathon di Petaling Jaya ketika diminta mengulas sama ada wajar Pas berada bersama PR 2.0 atau tidak.

Sebelum ini, Dr Wan Azizah menyatakan PKR masih mahu menjalin kerjasama dengan Pas kerana PKR boleh bekerja dengan mana-mana pihak yang mempunyai matlamat sama untuk menjatuhkan kerajaan.

Sementara itu, Azmin turut mendesak polis supaya lebih fokus kepada masalah jenayah yang lebih serius berbanding memanggil individu terlibat dalam perhimpunan Bersih 4.0.

Katanya, tindakan polis itu membuang masa dan membazir wang rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan.

“Tidak harus wang rakyat seperti ini digunakan untuk kepentingan politik mana-mana pihak. Itu gesaan saya pada polis.

“Polis perlu tumpu masalah jenayah yang semakin serius hari ini dan tidak menekan rakyat yang sebenarnya berhimpun secara aman, menurut Perlembagaan dan peruntukan sedia ada,” katanya.

Azmin turut menyeru  polis agar meneliti semula perkara itu dengan serius supaya keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap institusi itu dapat dikembalikan.

“Institusi PDRM adalah satu sistem demokrasi yang harus memelihara ketenteraman dan keselamatan rakyat, bukan individu,” katanya.

Khamis lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis akan memanggil lebih ramai lagi individu dan peserta yang menyertai perhimpunan Bersih 4.0 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 29 dan 30 Ogos lalu.

Katanya, polis sedang mengkaji klip video dan gambar semasa perhimpunan 34 jam tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya bahkan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga akan dipanggil dan disiasat mengikut kanun keseksaan berhubung ucapannya pada perhimpunan tersebut.

JELAS DAN TERANG, INILAH PARTI ISLAM SEBENAR !!!

7 Sep 2015

DEMI ISLAM SEBENAR TOLAK HUDUD ? PUAS HANGPA SEMUA ? SOLAT TONGGANG TONGGEK TETIBA TOLAK KETENTUAN HUKUM AGAMA, HANGPA KENA INGAT, YANG MENYEBABKAN SESEORANG ITU MENJADI KAFIR IALAH TENTANG HUKUM, INILAH ASAS ISLAM YANG MEMBEZAKAN ANTARA KAFIR DAN ISLAM, BACALAH QURAN, JANGAN BACA NAK MENANG JE !!! - Pak Karamu

Parti Amanah Pimpinan Mat Sbu Tolak Hudud!!!

TUNGGU TANGKAP


Pijak gambar: Empat dikenal pasti
Gambar peserta Bersih 'pijak' Hadi viral

ALOR GAJAH  - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengenal pasti empat individu yang terbabit dalam insiden memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Perhimpunan Bersih 4.0 lalu.
 
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berikutan itu, KDN akan mengambil tindakan terhadap mereka dalam masa terdekat ini.
 
Menurutnya, setakat ini sebanyak 267 laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian itu dan penganjur serta pemimpin yang menunjukkan perbuatan negatif tidak terkecuali berdepan dengan tindakan undang-undang.
 
“Tolong hormati. Walaupun tak setuju pendapat tapi jangan sehingga memijak gambar pemimpin. KDN tidak akan beri amaran, tindakan tetap akan diambil dan jangan marah KDN, polis dan Kerajaan Malaysia," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Alor Gajah di sini, semalam.
 
Sementara itu, dalam ucapan sama, Ahmad Zahid berkata, sifat dengki dan kebencian menebal antara satu sama lain membuka laluan mudah kepada musuh untuk melemahkan Umno.
 
Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata, sekarang bukan masa untuk berbalah berbeza pendapat, sebaliknya pemimpin perlu bersatu dan bersepakat supaya kerusi yang di bawah BN kini tidak terlepas ke tangan pembangkang.
 
“Hentikan menembak sesama sendiri tapi tembak musuh di luar Umno dan BN.
 
“Keberhasilan bukan dari mana menjawab tapi menghadapi peperangan minda dengan cara yang betul,” katanya.
 
Sehubungan itu, katanya, ahli Umno terutama saf Pemuda Umno perlu menguasai strategi dalam peperangan minda melalui media sosial
.

Kereta Dipercayai Milik Timbalan Pendakwa Raya JPN Terbakar


TAK MUNGKIN

Umno: Zahid pangku jawatan Muhyiddin?

Ahmad Zahid Hamidi

Ahmad Zahid Hamidi
SHAH ALAM - Pemerhati politik berpendapat orang nombor dua negara, Datuk Seri Dr Ahmad Za
hid Hamidi mungkin jadi pemangku jawatan timbalan presiden Umno sekiranya khabar angin yang berlegar tentang pemecatan penyandangnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin Rabu ini menjadi kenyataan.
Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata, bagaimanapun beliau sangsi dengan perkara itu akan berlaku kerana ia hanya akan merugikan BN di Parlimen.

“Jika beliau (Muhyiddin) dipecat, sudah tentu semua jawatan yang disandangnya akan terlucut tapi saya tidak jangka itu yang akan berlaku.

“Kerana ia hanya akan menambahkan suasana kritikal kepada BN. Di mana ahli Parlimen (MP) bebas akan bertambah di Parlimen dan mengurangkan bilangan MP BN. MP bebas ini boleh memihak kepada sesiapa sahaja,” katanya kepada Sinar Online.

Beberapa hari lalu, tersebar khabar angin melalui aplikasi sosial WhatsApp kononnya, pada Rabu ini akan berlangsung mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) yang akan memutuskan nasib Muhyiddin.
‎Selain Muhyiddin, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga turut dikhabarkan akan dipecat daripada jawatan mereka dalam parti.

Menurut Abdul Halim, jika Muhyiddin dipecat, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak akan bersidang bersama ahli MT Umno yang lain untuk melantik pemangku timbalannya.
“Presiden Umno akan bersidang untuk melantik pemangku timbalan presiden Umno dalam kalangan tiga naib presiden Umno.

“Besar kemungkinan Ahmad Zahid akan dilantik kerana beliau timbalan perdana menteri dan mendapat undi tertinggi ketika pemilihan Umno,” katanya.
Akui kemungkinan suasana itu akan menimbulkan suasana tidak selesa dalam kalangan ahli yang menyokong Muhyiddin, namun Abdul Halim berkata, ahli Umno perlu menerima keputusan itu.
“Ahli terpaksa terima. Ini keputusan MT Umno bukan presiden...bukan kuasa veto presiden. Memang akan ada yang sedih (atas pemecatan ) tapi kena terima. Perkara itu ikut Perlembagaan.

“Jika nak suarakan apa-apa kena tunggu pemilihan nanti atau bercakap ketika Perhimpunan Agong Umno minta penjelasan pemimpin,” katanya.
Sementara itu, peguam Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun menegaskan bahawa hanya ahli MT Umno yang boleh memutuskan taraf keahlian mana-mana ahli Umno termasuk menggantung atau memecat.

“Mengikut Perlembagaan Umno salah satu tanggungjawab MT Umno adalah menentukan taraf pendaftaran seseorang ahli (mengikut Fasal 5.7), menggantung atau melucutkan keahlian seseorang ahli.
“Sebagai contoh Anina telah dipecat kerana membawa perkara parti ke mahkamah. Sudah semestinya ada prosedur yang perlu dipatuhi. Anina telah memaklumkan bahawa beliau telah memfailkan kes itu di mahkamah. Maka Perlembagaan Umno jelas, keahlian akan gugur sendiri,” katanya.

Ahli Umno Kampung Padang Matsirat, Langkawi, Anina Saadudin dipecat berkuat kuasa 2 September lalu susulan memfailkan saman terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meminta Najib menjelaskan perihal penerimaan derma politik bernilai RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.
Dalam pada itu, Mohd Hafarizam mengakui tidak mengetahui apa-apa soal khabar angin pemecat Muhyiddin.
“Saya tidak tahu tentang ura-ura timbalan presiden Umno nak diturunkan atau sebagainya. Saya tidak mahu komen apa kerana saya tidak dengar atau tidak tahu pun tentang itu,” katanya.

TANGGUNG LE

Ahad, 6 September 2015

Baiah tidak boleh dibayar dengan kafarah, kata Haron Din

03-09-2015 01:09 

Written By Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

SHAH ALAM: Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din hari ini menolak pendapat bahawa baiah dibuat oleh wakil rakyat PAS boleh ditebus dengan membayar kafarah seperti disebut oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad semalam.

Haron berkata, baiah yang dibuat oleh kesemua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS itu sebenarnya berbaiah dengan Allah SWT.

Sehubungan dengan itu, katanya tidak timbul soal membayar kafarah seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad semalam.

"Yang pertama hendaklah terlebih dahulu memahami perkara-perkara yang boleh dibayar dengan kafarah dengan perkara-perakara yang yang tidak boleh dibayar kafarah.

"Yang boleh dibayar dengan kafarah itu ialah sumpah, melanggar sumpah dan perlu bayar kafarah," katanya.

"Yang mereka hadapi sekarang ini ialah apa yang mereka lakukan ialah baiah.

"Baiah tidak boleh bayar kafarah sebab jelas daripada ayat Allah SWT yang bermaksud sesungguhnya orang-orang yang berbaiah dengan kamu wahai Muhammad, mereka sebenarnya berbaiah dengan Allah," katanya kepada Antarapos.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Khalid Samad yang menyatakan wakil rakyat PAS yang menyertai Amanah akan membayar kafarah yang sesuai sebagai 'denda' kerana melanggar baiah parti itu.
"Dari segi melanggar baiah ini ada kaedahnya, di mana ada kafarah yang perlu dibayar dan perkara ini akan saya lakukan dan akan diadakan sidang media mengenainya esok," katanya.

"Kafarah ini macam denda. Memang dalam syariat Islam ini ada …. yang membenarkan kita (yang) terpaksa melanggar sesuatu janji atas sebab-sebab tertentu, maka kita boleh membayar kafarah untuk menebus dosa atau pun kesalahan melanggar baiah ini," katanya.

Susulan kenyataan Khalid itu, Haron mengingatkan kesemua wakil rakyat PAS untuk merujuk kepada pihak yang mempunyai autoriti berhubung isu baiah yang mereka lafazkan.

"Maksud itu jelas, kalau mengkhianati baiah bermakna mereka mengkhianati Allah.

"Allah tidak perlu kepada kafarah, kerana itu maka terpulanglah kepada setiap-setiap orang ada pandangannya, ada perkara yang dia rasa boleh meyakinkan apa yang dia buat, akan tetapi saya menasihatkan hal-hal keagamaan khususnya baiah yang mengaitkan dengan talak isteri, rujuklah kepada orang yang autoriti," katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd Hatta Ramli merujuk kepada bidang kuasa mahkamah syariah ekoran perjanjian baiahnya yang melibatkan talak tiga selepas melanggar bai'ah tersebut.

"Kalau (baiah-talak), itu adalah bidang kuasa mahkamah syariah, ada orangnya yang ada autoriti dan ada kuasa, bagi maksud kalau sudah ternyata hubungan suami isteri sudah terpisah disebabkan talak tiga, mereka tidak boleh lagi duduk serumah.

"Kalau berlaku juga, itu bidang kuasa penguatkuasaan," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Haron mengingatkan Hatta supaya tidak menjadikan semua alasannya daripada ditegur oleh penguasa kerajaan atas sebab 'mengaturkan hidupnya'.

Beliau berkata, ini ekoran teguran Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob terhadap Hatta berhubung 'cerai talak tiga' adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai pemimpin untuk menegur mana yang salah.

"Maknanya dia tidak mengakui adanya perintah Allah amar ma'ruf dan nahi munkar.

"Amar ma'ruf itu memanglah kita perlu ambil tahu, dan nahi munkar pula kepada semua orang dan masyarakat dan yang memberi komen kepada sahabat kita Dr. Hatta Ramli itu ialah penguasa, 

seorang menteri besar, ketua kerajaan, jadi memang tanggungjawab dia untuk mengekalkan yang amar ma'ruf dan menghapuskan yang mungkar," tambahnya.

Malah beliau mengingatkan Hatta supaya memahami semula perkara-perkara 'fahishah' (perbuatan yang keji).

"Kalau sudah diputuskan atau dinyatakan dengan jelas oleh ketua hakim syarie bahawa perkahwinannya telah terlerai atau pun tertalak, maka hubungan yang berlaku selepas itu adalah perkara yang 'fahishah'," katanya.

"(Fahishah) adalah yang wajib dicegah, maka itu adalah kewajipan mereka (menteri besar Kelantan) mencegah dan memanglah mencegah itu ialah perlu ambil tahu hal orang lain.
"Pertama sekali ialah pemerintah," katanya.

Haron turut memberikan contoh dalam al-Quran turut memperincikan perkara-perkara baiah yang perlu diikuti oleh mereka yang berbaiah.

"Sesungguhnya sesiapa yang mengkhianati baiahnya, maka dia sebenarnya mengkhianati dirinya sendiri.

"Sesiapa yang menyempurnakan baiahnya, maka Allah akan menganjarkannya dengan pahala yang besar," katanya.

"Jadi sepanjang cerita tentang baiah dalam al-Quran tidak ada yang dipanggilkan kafarah. Yang ada, yang besarnya, dia berbaiah dengan Allah, dia menunaikan baiah itu dia akan dapat pahala dan jika dia mengkhianatinya, dia khianat diri dia sendiri.

"Jadi itu sudah lebih daripada cukup untuk buat pengajaran," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, Haron turut meminta supaya semua wakil rakyat tersebut tidak mencari alasan untuk mereka menghalalkan cara dan membolehkan mereka mengkhianati baiah yang sudah dilafazkannya bersama PAS.

"Berilah apa alasan pun yang boleh kita mereka begitu banyak alasan, tetapi tanyalah hati kecil sendiri dan tanya iman, apakah yang mereka buat itu diredhai oleh Allah atau tidak.

"Kalau mereka jawab redha takper, silakan, tidak ada masalah tetapi tanyalah orang yang jujur dan memberi pandangan dan nasihat yang berguna untuk kebaikan dunia dan akhirat...untuk kebaikan dunia dan akhirat...perlu bersandar kepada hujah-hujah syarak bukan semata-mata hujah akal," katanya.

Semalam, Khalid memberitahu berkemungkinan semua wakil rakyat PAS yang menyertai Amanah akan membayar kafarah sebagai denda kepada pelanggaran baiah itu.

Selain Khalid, Ahli Parlimen PAS yang menyertai Amanah ialah Datuk Dr Mujahid Yusof (Parit Buntar), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Hanipa Maidin (Sepang), Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu) dan Kamaruddin Jaafar (Tumpat).

Turut berbuat demikian adalah lima ADUN PAS iaitu Datuk Seri Dr Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib).

DULU KATA NGO SAHAJA


Pas Terengganu desak Raja Bahrin lepas jawatan
Satiful Bahri Mamat
Satiful Bahri Mamat



KUALA TERENGGANU - Pas Negeri Terengganu hari ini mendesak Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu kerana sudah menyertai Parti Amanah Negara dan menjadi pengerusi untuk negeri Terengganu.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, tindakan itu perlu dilakukan Ahli Parlimen terbabit berdasarkan baiah yang ditandatanganinya pada 18 April 2013 di Rusila, Marang.

"Beliau secara sukarela telah melafazkan sumpah baiah itu di depan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, saksi-saksi, kepimpinan Pas dan calon Pas untuk pilihan raya umum ke-13 pada 2013.

"Antara yang terkandung dalam lafaz sumpah itu ialah beliau perlu meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen sekiranya meninggalkan parti, melompat parti atau dipecat," kata pada sidang media di sini, hari ini.

"Selain itu, lafaz sumpah yang dibaca ialah sekiranya beliau melakukan perkara tersebut, maka pendapatannya dan elaun yang diterima sebagai wakil rakyat itu adalah haram.

"Sebab Pas Terengganu mendesak agar beliau segera meletak jawatan kerana beliau sendiri yang bersetuju untuk melakukan baiah ini ketika mahu menjadi calon," katanya.

Bagaimanapun, lafaz baiah bagi calon pilihan raya di Terengganu tidak membabitkan taklik perceraian talak tiga bersama isteri mereka kerana ia hanya dilaksanakan di Kelantan, katanya.

Beliau berkata, desakan itu juga adalah selari dengan gesaan Abdul Hadi dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang mahu anggota Pas yang memenangi kerusi Dun serta Parlimen supaya meletakkan jawatan sekiranya mereka menyertai Amanah.

Ditanya mengenai kemungkinan terdapat Adun atau Ahli Parlimen yang lain menyertai parti politik baharu itu, Satipul berkata pihaknya tiada lagi menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.

Katanya sekiranya Raja Bahrin enggan meletak jawatan, terserah kepada rakyat untuk menilai integriti dan tahap profesionalisme anggota Parlimen itu.

Amanah telah dilancarkan secara rasmi di peringkat Terengganu pada Jumaat lepas di Dungun. - Bernama
free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.