ALOR GAJAH  - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengenal pasti empat individu yang terbabit dalam insiden memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Perhimpunan Bersih 4.0 lalu.
 
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berikutan itu, KDN akan mengambil tindakan terhadap mereka dalam masa terdekat ini.
 
Menurutnya, setakat ini sebanyak 267 laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian itu dan penganjur serta pemimpin yang menunjukkan perbuatan negatif tidak terkecuali berdepan dengan tindakan undang-undang.
 
“Tolong hormati. Walaupun tak setuju pendapat tapi jangan sehingga memijak gambar pemimpin. KDN tidak akan beri amaran, tindakan tetap akan diambil dan jangan marah KDN, polis dan Kerajaan Malaysia," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Alor Gajah di sini, semalam.
 
Sementara itu, dalam ucapan sama, Ahmad Zahid berkata, sifat dengki dan kebencian menebal antara satu sama lain membuka laluan mudah kepada musuh untuk melemahkan Umno.
 
Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata, sekarang bukan masa untuk berbalah berbeza pendapat, sebaliknya pemimpin perlu bersatu dan bersepakat supaya kerusi yang di bawah BN kini tidak terlepas ke tangan pembangkang.
 
“Hentikan menembak sesama sendiri tapi tembak musuh di luar Umno dan BN.
 
“Keberhasilan bukan dari mana menjawab tapi menghadapi peperangan minda dengan cara yang betul,” katanya.
 
Sehubungan itu, katanya, ahli Umno terutama saf Pemuda Umno perlu menguasai strategi dalam peperangan minda melalui media sosial
.