Isunya bukan penggabungan dua parti semata-mata
SHAH ALAM - Pas tetap dengan pendirian tidak akan bergabung dengan
Umno kerana menyifatkan penyatuan orang Islam di negara ini bukan
berkisar kepada penggabungan dua parti itu semata-mata.
Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebaliknya banyak
cara lain boleh difikirkan untuk mengembalikan perpaduan orang Islam
dan Melayu yang melangkaui kerjasama politik.
“Saya tidak melihat ada jangkaan untuk Pas bergabung dengan Umno, itu
satu perkara yang bukan mudah. Tapi kita jangan bercakap atas nama
politik, kita bercakap atas nama perpaduan dan kepentingan ummah.
“Dari segi ekonomi, nasib orang Islam. Jangan cakap dari segi Pas masuk
Umno atau Umno masuk Pas, tetapi kita cari persamaan yang lebih banyak
daripada perbezaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak di Multaqa Serantau Alumni Al Azhar semalam yang
sekali lagi menghulurkan kerjasama kepada Pas.
[ARTIKEL BERKAITAN: Sekali lagi Najib ajak Abdul Hadi bersatu]
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, sebarang usaha untuk menyatukan
umat Islam selaras dengan syariat akan disokong Pas kerana ia merupakan
perjuangan parti itu dari dulu.
“Jika ada mana-mana pihak yang ingin laksanakan perkara ini (penyatuan)
selaras dengan perjuangan Pas, kita terima. Tapi tak semestinya melalui
penggabungan parti,” katanya.
Beliau turut mengesyorkan agar usaha penyatuan umat Islam di negara ini
dimulakan dengan penggabungan insitusi yang dianggotai orang Islam.
“Contohnya, kita ada Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan
Kebajikan Islam (Perkim) dan banyak lagi pertubuhan yang berteraskan
perjuangan Islam," katanya.
Bagaimanapun, katanya, Pas berpandangan bukan perpaduan orang Islam dan
Melayu sahaja yang penting untuk negara, tetapi juga perpaduan kaum
lain dan bukan Islam.
“Kalau setiap bangsa bersatu, kita akan dapat selesaikan banyak
masalah. Tapi memandangkan orang Melayu adalah majoriti, maka kalau kita
dapat bersatu ia satu perkara yang cukup besar kepada negara,” katanya.
2 orang berkata:
memprkuat partai
menggabung dua kekuatan
Post a Comment