Penganalisis: Bukan Umno yang terdesak tapi Pas
KOTA BHARU - Dakwaan pelbagai pihak mengatakan Umno terdesak untuk
bekerjasama dalam politik dengan Pas adalah tidak tepat, malah Umno
menang PRU13 sebelum ini dengan kekuatannya sendiri.
Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Ulung Datuk
Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, Pas sebenarnya kini berdepan keadaan
bersimpang siur apabila terpaksa mencari kawan untuk menang kali ini
dan hanya Umno sahaja yang boleh menyelamatkan Pas daripada kembali ke
zaman pra-Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“DAP telah membuli Pas dan tiada reaksi apa-apa daripada Pas. Di
Selangor, Pas masih lagi bergantung di tepi kain PKR dan DAP.
Perlanjutan masa depan Pas jelas bergantung pada Umno.
“Cuma Pas sekarang ini malu dan segan untuk terlibat dalam kerangka
kerajaan perpaduan. Maka terpulang kepada kebijaksanaan Umno untuk
mencari ruang yang menang-menang tanpa menjatuhkan maruah Pas,” katanya
kepada Sinar Harian, semalam.
[ARTIKEL BERKAITAN: Umno umpama minta nyawa ketika sakaratul maut]
Menurutnya, walaupun MCA dikatakan tidak membenarkan Pas menyertai Umno
jika melaksanakan hudud, MCA sebenarnya didakwa seperti naga tidak
bertaring dan tidak berkuku yang hanya bercakap besar walaupun berdepan
cabaran untuk memenangi kembali pengundi kaum Cina.
Ditanya, adakah Pas boleh melupakan seketika janji pelaksanaan hudud di
Kelantan, semata-mata untuk meluaskan kuasa pentadbiran bersama Umno
selepas ini, Dr Shamsul Amri berkata, sebenarnya ia bukan lagi isu
kerana Adun Umno sendiri telah menyokong keputusan melaksanakan hudud di
Kelantan sebelum ini.
Maka katanya, yang perlu dirundingkan ialah cara proses pelaksanaan
hudud itu dilakukan, bukanlah sekali gus tetapi berperingkat.
“Ini mengambil masa yang agak panjang. Mungkin lima tahun atau lebih,
itu pun kalau Pas masih memerintah Kelantan dan bukan Umno. Mengapa
lambat proses pelaksanaan kerana ia memerlukan sumber manusia, latihan
dan dana untuk menjayakannya, bukan tiba-tiba boleh dilaksanakan.
“Malah jika bekerjasama dengan Umno, Pas mempunyai banyak peluang untuk
terus berkuasa kerana Pas sekarang dalam keadaan lemah dari segi
politik dan ekonomi. Kekuatan Pas dulu datang daripada kelompok
penyokong Anwar Ibrahim yang masuk Pas.
"Sekarang kumpulan ini telah keluar dan buka sebuah warung politik
baharu, namanya Parti Amanah Negara. Datang PRU14, warung ini mungkin
terus ditutup kerana tiada pelanggan,” katanya.
1 orang berkata:
Biasa la komen pro umno.sapa yg mula dulu.Pas ka umno.selalunya org yg mula dulu tu la terdesak.prof ni pun bengong akibat terlalu bodek
Post a Comment