Pas tidak akan bergabung dengan Umno
KOTA BHARU - Pas tidak akan bergabung dengan Umno dan Barisan Nasional
(BN) sehinggalah Umno melaksanakan syariat Islam dalam pentadbirannya,
tegas Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Ahmad Yakob.
Menurutnya, penegasan tersebut telah berkali-kali dinyatakan
Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini dan Umno wajib
memartabatkan syariat Islam dalam negara ini dengan kuasa yang ada di
tangan mereka.
“Inilah sahaja jalan untuk membentuk perpaduan yang akan memastikan
tuntutan Islam dapat ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Penganalisis: Bukan Umno yang terdesak tapi Pas]
Menurut Ahmad, dalam usaha untuk membangunkan negara dengan syariat
Islam, Pas akan sentiasa menjadi parti ‘checks and balances’ kepada
kerajaan Persekutuan dan kini Pas sudah memerintah negeri Kelantan dan
Selangor bersama pakatan tahaluf.
Menteri Besar Kelantan itu juga berkata, dengan pengalaman mentadbir
ini, Pas melalui negeri yang dikuasainya akan bekerjasama dengan
kerajaan Persekutuan dalam usaha ta’awun atau saling bantu-membantu demi
untuk kesejahteraan dan faedah kepada rakyat.
“Pas Insya-ALLAH akan menonjolkan model terbaik bagi mendirikan
sesebuah pemerintahan untuk menaungi ummah dan sehingga kini Pas terus
menjadikan Kelantan sebagai negeri di bawah payungan syariat.
“Sebagaimana usaha di Kelantan, inilah juga usaha Pas dalam melebarkan
kuasa ke negeri-negeri lain termasuklah untuk memenuhi hasrat rakyat ke
Putrajaya dengan model kepimpinan adil dan saksama,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Ahmad turut melahirkan
kekecewaan apabila sejak kebelakangan ini wujud dakwaan mengatakan
perjuangan Pas sudah terpesong dari dasar perjuangan Islam.
Malah ada yang begitu berani menyamakan perjuangan Pas dengan puak IS yang ekstrem.
“Ini adalah tuduhan yang sangat tidak bertanggungjawab dan mempunyai
agenda jahat terhadap Pas. Pas telah melalui pengalaman yang sangat lama
dalam kancah politik dan telah mendepani pelbagai cabaran serta
tribulasi tersendiri.
“Kita sangat mengutamakan perpaduan ummah sebagaimana asas perpaduan
yang telah dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah. Kenyataan Presiden,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang bertajuk ‘Syariat Islam Asas Penyatuan
Ummah’ adalah suatu lontaran yang sangat tepat khususnya menyedari
situasi negara kita pada hari ini dalam keadaan parah akibat politik
kepartian yang mengetepikan syariat,” katanya.
1 orang berkata:
Habaq pi la apa pun mengenai gabungan Pas umno ni.puak yg tak faham akan dasar atau pendirian Pas tetap dgn ratib depa mengatakan Pas akan bergabung dgn umno.dari tu timbullah berbagai fitnah.
Post a Comment