PUTRAJAYA - Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau pernah memanggil beberapa pemimpin BN untuk bertemunya seperti didakwa beberapa pihak.

Menurutnya, beliau tidak pernah berbuat demikian namun jika mereka mahu bertemunya, beliau sentiasa terbuka untuk meluangkan masa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya dakwaan beberapa pemimpin BN sebelum ini mengatakan Dr Mahathir pernah memanggil mereka.

“Saya tak pernah panggil siapa pun. Mereka nak datang jumpa, saya jumpa. Saya jumpa semua orang.

“Dengan media pun saya jumpa,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, petang tadi.

Ketika ditanya adakah PH akan menerima kemasukan Ahli Parlimen BN, Dr Mahathir menegaskan kemasukan mereka disertai beberapa syarat.

Menurutnya, mereka mestilah terlebih dahulu meninggalkan parti, menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong kerajaan PH.

“Kita akan pertimbangkan tapi bukan semua. Bukan yang ada dakwaan jenayah terhadap mereka.

“Ada yang tanya nak masuk tapi ada macam-macam cara. Dia nak masuk satu kumpulan, tak bolehlah. Dia masuk satu kumpulan, dia jadi lagi besar dari kita.

“Kita tak mahu berada di bawah mereka, kita mahu berada di atas mereka. Kalau nak masuk, masuk seorang demi seorang,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pemimpin yang selama ini secara terbuka dan lantang menyokong pencurian duit tidak akan diterima.