KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta supaya kerajaan Selangor bertanggungjawab dalam urusan penjualan tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights kepada pemaju One City Development Sdn Bhd (One City).

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Twitter miliknya, beliau juga berkata, rusuhan yang berlaku di tapak kuil itu tiada kaitan perkauman tetapi pertembungan antara pihak pemaju dan kuil.

“Kerajaan negeri harus ambil tanggungjawab benarkan tapak kuil Hindu dijual kepada pemaju.
“Siasat juga pemaju yang mengupah samseng. Jangan bakar api perkauman,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Insiden rusuhan tidak babit unsur perkauman]

Sementara itu, One City pada hari ini turut menafikan dakwaan bahawa pihak mereka dalang di sebalik rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di sini, awal pagi tadi.

Menerusi satu kenyataan, pemaju itu menyatakan bahawa tuduhan itu tidak berasas, serta berniat jahat ke atas mereka.

"Pihak kami mengutuk tindakan merusuh berkenaan, ingin kami jelaskan bahawa pihak kami tidak terlibat sama sekali," jelas kenyataan tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pemaju nafi jadi dalang sebalik rusuhan]