BN guna warga asing edar risalah
17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA
TERENGGANU – PKR mendakwa Barisan Nasional (BN) cuba memburuk-burukkan
calon pembangkang di kerusi Dun Bandar dengan menggunakan warga asing
bagi menjatuhkan calon parti itu yang juga Pengerusi PKR Terengganu,
Azan Ismail.
Ketua
Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Muhammad Safwan
Abdullah berkata, perkara itu terbongkar dengan ‘tertangkapnya’ seorang
warga Bangladesh yang asyik mengedarkan risalah memburukkan calon PKR
itu di stesen bas di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.
Menurutnya,
ketika disoal mengenai pengedaran risalah berkenaan, warga asing itu
turut mengakui diupah untuk meletakkan risalah di kereta orang awam di
sekitar kawasan bandar Kuala Terengganu dengan mendapat bayaran sebanyak
RM100.
“Ini
tindakan terdesak menggunakan fitnah memburukkan calon kita tanpa bukti
yang kukuh, cuma apa yang merisaukan kami ialah jikalau mereka
menggunakan khidmat warga asing dalam menjalankan kempen pilihan raya
bagi menjatuhkan (PR).
“Itu
yang merisaukan kita dan kesalahan ini bagi saya bertentangan dengan
undang-undang pilihan raya iaitu warga asing tidak boleh terlibat dengan
proses pilihan raya termasuk kempen dan sebagainya dan saya tahu mereka
menggunakan warga asing untuk mengelak sebarang tindakan undang-undang
diambil terhadap mereka,” katanya kepada Sinar Harian di Pejabat PKR
Kuala Terengganu di Gong Kapas, di sini, malam kelmarin.
Risalah
bersaiz A4 itu menggunakan hampir sepenuhnya bahasa Cina dengan
memaparkan dua keratan akhbar iaitu gambar Azan pada keratan akhbar
berbahasa Cina dan keratan tajuk berita sebuah akhbar berbahasa Melayu
menggunakan tajuk ‘Calon PKR jual pil kuda’ yang turut memaparkan gambar
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Muhammad
Safwan berkata, kedudukan gambar dan cerita itu seolah-olah dibuat bagi
menggambarkan bahawa Azan adalah calon yang terlibat dengan aktiviti
tidak bermoral itu.
Menurutnya, aktiviti mengedar risalah berkenaan disedari dilakukan beberapa hari lalu di sekitar bandar Kuala Terengganu.
Beliau
berkata, cubaan menghentikan mereka yang terlibat melakukan pengedaran
berkenaan gagal apabila ketujuh-tujuh warga asing terbabit terlebih
dahulu menyedari mereka diawasi dan sempat melarikan diri dalam kejadian
sebelumnya.
“Hari
ini (kelmarin) kita dapati tiga orang yang bertindak sedemikian tetapi
kita berjaya tangkap seorang sahaja, yang dua lagi terlepas dan kita
tidak tahu sama ada yang lari itu warga Bangladesh atau Myanmar,”
katanya.
Pada masa sama, pihaknya akan menyiasat kejadian itu dengan lebih lanjut untuk mengetahui dalang terlibat.
Sementara
itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dun Bandar, Datuk Toh Chin Yaw
ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, beliau tidak tahu menahu
mengenai edaran risalah terbabit.
Ketika
ditunjukkan risalah itu, beliau bagaimanapun menjelaskan, tiada
kandungan yang mengandungi fitnah dalam artikel yang dipaparkan tetapi
beliau akan meneliti sama ada dilakukan BN atau sebaliknya.
“Yang ini saya tidak tahu tetapi kalau kata tidak betul, ambillah
tindakan,” katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan dengan kaum
India di Pejabat Perhubungan Umno Terengganu, di sini, malam kelmarin.
Sinar/-
0 orang berkata:
Post a Comment