SHAH ALAM - Umno dan Pas tidak mungkin bergabung tegas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, kenyataan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah disalah tafsir.

“Ada yang telah salah faham apabila Datuk Seri Zahid bercakap tentang Umno bergabung dengan Pas. Kononnya itu pelawaan Umno untuk melakukan ‘merger’  dengan Pas.

“Itu tidak tepat. Ucapan nya bermaksud bergabung tenaga bukan ‘merger’ antara dua parti.

Umno dan Pas tak mungkin bergabung dalam erti kata ‘merger’,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Minggu lalu, Ahmad Zahid secara terbuka mempelawa Pas untuk bercantum ketika berucap pada Himpunan Perpaduan Ummah di Dataran Kampung Gajah.

Kelmarin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan Umno-Pas hanya bercantum dalam konteks muafakat politik bagi mempertahankan agenda Islam bukan bergabung dalam gerakan parti.

[ARTIKEL BERKAITAN: Cukuplah Umno, Pas bergaduh sebelum ini]

http://www.sinarharian.com.my/politik/cukuplah-umno-pas-bergaduh-sebelum-ini-1.905950
Dalam pada itu, Annuar berkata Umno-Pas lebih strategik kekal sebagai entiti berasingan dengan dasar dan ideologi masing-masing.

“Namun kita tingkatkan kerjasama strategik antara kedua-dua parti dan menjamin ‘win win situation’ bagi kedua-dua parti.

“Buat masa ini lebih baik Umno belajar membina kekuatan dan daya tahan sendiri. Terlalu banyak proses rekayasa yang perlu dilakukan baik dari segi organisasi mahu pun watak dan kepimpinan,” katanya.

Mengulas lanjut, Annuar berkata gabungan antara Umno dan Bersatu bakal memberi hasil yang berkualiti.

“Sekiranya ‘merger’ yang dicari, Umno seharusnya memikirkan ‘merger’ dengan Bersatu. Itu pun sekiranya ia menjamin kekuatan agenda perjuangan kaum Bumiputera dan orang Melayu negara ini.

“Umno masih merupakan wadah politik orang Melayu yang terbesar. Ia akan terus utuh kerana akar tunjangnya kuat. Ranting dan dahan mungkin serkah dan patah namun pokoknya tetap kuat dan tidak mudah rebah.

“Cuma jika berlaku percantuman Umno-Bersatu satu hari nanti, sudah pasti ia benih tut yang lebih berkualiti,” katanya.