KUALA LUMPUR - Orang Melayu diingatkan agar terus waspada walaupun kerajaan mengambil keputusan tidak menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, orang Melayu kena terus berwaspada kerana kerajaan tidak boleh memberi jaminan ICERD tidak akan ditandatangani atau diratifikasikan di masa hadapan.

Menurutnya, Perdana Menteri mungkin bertukar, malah kita sudah pun ada perdana menteri menunggu dan kita tidak tahu apa pendiriannya.

“Jika perdana menteri tidak bertukar pun, mungkin tekanan terhadapnya di dalam kerajaannya sendiri, terlalu kuat hingga beliau terpaksa membuat u-turn.

“Sejak 9 Mei 2018, kita telah melihat (Kerajaan PH) beberapa kali u-turn dibuat. Sebab itu kita perlu terus berwaspada dan bangun menentang semula, jika perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Kongres Tolak ICERD di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Abdul Hamid berkata, sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya mengatakan ICERD tidak mungkin boleh diratifikasi, sebab PH tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Ada kemungkinan ICERD akan diratifikasi setelah PH mempunyai majoriti yang cukup di Parlimen.
“Dan ketika ini kerajaan PH tidak meratifikasi ICERD kerana ia hendak mempertahankan Perlembagaan.

“Ertinya, Kerajaan PH mengakui bahawa jika ICERD diratifikasi, maka peruntukan Perlembagaan akan terjejas,” katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan sah tak akan ratifikasi ICERD ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan diteruskan, kerajaan gagal tunjuk kesungguhan ]

Dalam pada itu, Abdul Hamid mahu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) mendedahkan apa yang dibincangkan dalam pertemuan 90 minit dengan pengarang akhbar berbahasa Cina pada Jumaat berhubung isu ICERD seperti yang dilaporkan media selepas Kerajaan mengeluarkan kenyataan tidak akan meratifikasi ICERD.

“Mengapa beliau hanya memanggil pengarang-pengarang akhbar Cina, jika beliau hendak membuat kenyataan akhbar. Adakah ada sesuatu yang tersembunyi yang beliau tidak mahu orang Melayu tahu?

“Mengapa selepas kenyataan itu dikeluarkan pun, orang-orang yang menentang ICERD masih dikatakan ‘memainkan sentimen masyarakat Melayu’ dengan menggunakan isu ICERD?,”
katanya.

Abdul Hamid turut mempertikaikan tindakan sesetengah pihak menyifatkan orang Melayu yang menentang ICERD sebagai rasis.

“Yang peliknya, orang Melayu yang mempertahankan hak mereka seperti yang dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dikatakan rasis. Tetapi, orang bukan Melayu yang hendak mengambil hak orang Melayu tidak rasis.

“Saya seru semua rakyat Malaysia, termasuk Guan Eng dan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) P Waytha Moorthy, marilah terima kenyataan kerajaan PH yang mereka sendiri menjadi anggota Kabinetnya dan jangan lagi menuduh penentang ICERD sebagai rasis dan pelampau, jika mereka mahu cuba mewujudkan perpaduan,” katanya.

Abdul Hamid menambah, kita mungkin telah memenangi satu pertempuran, tetapi perang belum lagi tamat.

“Saya percaya, kumpulan yang tidak senang adanya hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, tidak akan berdiam diri.”
“Perjuangan kita masih belum selesai,” katanya lagi.