PKR: Kami tidak reka kes bas diserang
2 September 2012
SHAH ALAM - PKR menegaskan insiden bas parti itu, yang digunakan dalam kempen Jelajah Merdeka Rakyat, disimbah cat merah dan dipecahkan cermin depan di Kota Bharu awal pagi semalam, bukan satu rekaan untuk mengalih fokus isu kontroversi semasa.
Pengarah Biro Antarabangsa PKR, Yusmadi Yusuf berkata, pihaknya menafikan dakwaan bahawa insiden tersebut rekaan untuk menutup isu Himpunan Janji Demokrasi malam Khamis lalu, dicemari dengan tindakan memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan membawa bendera baru untuk menggantikan Jalur Gemilang.
Menurutnya, semua pihak tidak wajar mengeluarkan komen atau kenyataan tidak berasas kerana insiden itu melibatkan isu keselamatan.
“Insiden bas PKR (diserang), yang dinaiki Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah isu serius, namun PKR sudah lali dengan provokasi dan sabotaj sebegini.
“Ketika kejadian, saya sendiri melihat keadaan bas berkenaan semasa konvoi ini tiba dari Pulau Pinang sebentar tadi," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, insiden terbaru ini tidak akan mematahkan semangat konvoi Jelajah Merdeka Rakyat untuk menjelajah ke seluruh Semenanjung Malaysia menemui rakyat.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya telah membuat laporan polis mengenai serangan bas parti itu yang diserang.
Menurutnya, insiden ini tidak wajar dikaitkan dengan program Himpunan Janji Demokrasi kerana Pakatan Rakyat (PR) bukan pihak penganjur.
“Mereka seharusnya mengkritik kami jika ada isu dan bukannya menggunakan politik sebagai serangan murahan," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment