Ceroboh Sabah: Kajian terperinci perlu, kata Musa Hassan
Musa melawat Ganaphati yang patah tulang rusuk dan punggung akibat kemalangan ketika bertugas.
 
SEREMBAN – Kerajaan perlu membuat kajian secara terperinci tentang insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kajian perlu dibuat bagi kenal pasti bagaimana insiden pencerobohan itu boleh berlaku termasuk kelemahan negara sehingga berlaku insiden itu.

“Kita nak tahu macam mana ia boleh berlaku dan apa kelemahan yang menyebabkan perkara ini berlaku.

“Kita kena kaji supaya kita dapat perbetulkan kelemahan ini dan pertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan Lahad Datu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, di sini, semalam, selepas melawat seorang anggota polis berpangkat Sarjan yang mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya ketika bertugas.

Menurutnya, kerajaan boleh memohon untuk ekstradisi Sultan Jamalul Kiram III di negara ini ekoran dakwaannya yang mengarahkan serangan penceroboh di Lahad Datu.

“Kita boleh mohon ekstradisi dan minta kerjasama dengan kerajaan Filipina kerana mereka (Sultan Sulu) telah galakkan pencerobohan ini.

“Mereka datang dengan senjata dan membunuh pasukan keselamatan kita. Pada saya, ini satu tindakan berperang dengan Yang di-pertuan Agong mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

“Pencerobohan telah berlaku dan mereka memberi sokongan kepada pengganas di Lahad Datu, kita boleh mohon ekstradisi,” katanya.

Musa berkata, semua pihak disaran supaya tidak mengeluarkan berita palsu yang boleh menggugat keadaan.

“Berita tidak disahkan dan palsu boleh kelirukan pasukan keselamatan untuk buat kerja. Berita palsu ini susahkan pasukan keselamatan kita.

“Kalau boleh kita bantu pasukan keselamatan banteras pengganas, bukannya membuat komen, cerita dan berita palsu yang boleh menyusahkan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Musa berkata, dia menyokong usaha sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam operasi membanteras pengganas di Lahad Datu.

“Tindakan usaha sama ini betul kerana perkara ini sudah sampai tiga minggu berlaku. Saya merasakan masyarakat dan rakyat sudah yakin dengan pasukan keselamatan kita.

“Saya berharap pasukan keselamatan kita di sana (Lahad Datu) bertugas dengan semangat tinggi kerana keadaan keselamatan di sana perlu ditingkat. Kita tidak mahu kalau ada masih bolos,” katanya.

Musa turut mengucapkan takziah kepada lapan anggota polis yang gugur dalam insiden pencerobohan pengganas itu dan berharap keluarga bersabar serta mendoakan mereka ditempatkan di kalangan para syuhada.

Sementara itu, Sarjan C Ganaphati, 47, mengalami patah tulang rusuk dan punggung akibat kemalangan ketika  dalam perjalanan ke tempat kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, kira-kira jam 9 pagi, Sabtu lalu.