China terbuka untuk dialog
BANGKOK - Walaupun pertikaian tuntutan bertindih wilayah di Laut China
Selatan antara China dan beberapa negara Asean bukan merupakan isu
antara kedua-dua pihak, tetapi pada hakikatnya ia mempunyai kesan
terhadap hubungan China-Asean, kata Menteri Luar China, Wang Yi.
Bagi pihaknya, beliau berkata China sentiasa bersedia untuk menyelesaikan pertikaian menerusi dialog dan rundingan terus.
China sentiasa membuka pintu dialog dan rundingan serta meneruskan
prospek keputusan menang-menang, katanya dalam ucapan pada perasmian
Forum Peringkat Tinggi mengenai Ulang Tahun ke-10 Perkongsian Strategik
Asean-China semalam.
"Kami berharap negara lain yang berkenaan akan menunjukkan semangat
yang sama, dan bekerja sealiran dengan kami, daripaada mengambil
sebarang langkah yang boleh menyukar atau memburukkan keadaan, salah
tafsir keadaan dan berulang kali membuat kesilapan," tambah Wang.
China dan rakan Aseannya seperti Filipina, Malaysia, Vietnam dan Brunei telah membuat tuntutan wilayah di Laut China Selatan.
Wang berkata China ialah negara bertanggungjawab dan mematuhi dengan
ketat Deklarasi Prilaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC) yang
ditandatangani pada 2002.
Beliau berkata China boleh bekerjasama dengan negara Asean bagi
membincangkan secara serius dan berterusan dalam memajukan penubuhan kod
prilaku (COC) di Laut China Selatan yang China dan Asean telah
bersetuju untuk membentuk di bawah rangka kerja pelaksanaan DOC.
Ia merupakan proses yang berterusan untuk bergerak dari DOC ke COC, tambahnya.
Timbalan Perdana Menteri Thailand dan Menteri Luar Surapong
Tovijakchaikul berkata beliau gembira Asean dan China telah bersetuju
untuk memulakan rundingan secara rasmi di peringkat pegawai kanan bulan
depan yang bertujuan membangun COC di Laut China Selatan.
"Kita perlu mengubah kawasan berkenaan dari lautan yang tidak
berketentuan dan tidak dipercayai kepada lautan yang dikongsi
kepentingannya dan kerjasama," katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment