• Pemuda Umno
1 / 1
SHAH ALAM - Pemuda Umno hari ini kesal kerana masih ada majikan tempatan yang enggan melaksanakan skim gaji minimum yang akan berkuat kuasa 1 Januari depan.

Menurut Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda Pergerakan Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin tujuan skim itu dilaksanakan adalah bagi meningkat produktiviti negara dan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah.

“Penguatkuasaan gaji minimum itu telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hasil perjuangan Sekretariat Pekerja Muda dan kesatuan-kesatuan sekerja.

“Jika ada majikan yang enggan melaksanakan atau merayu supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan skim itu, Malaysia tidak akan mencapai status negara maju pada 2020,” menurutnya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Subramaniam mendedahkan kementeriannya menolak ratusan permohonan majikan tempatan yang meminta supaya kerajaan menangguhkan syarat gaji minimum yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

“Permohonan paling tinggi adalah daripada syarikat yang terlibat dalam Industri Kecil Sederhana (IKS) selain syarikat besar yang mendapat keuntungan jutaan ringgit setahun.

“Kerajaan perlu bertegas dalam soal ini dan majikan mesti melaksanakan skim gaji minimum itu mulai 1 Januari 2014,” katanya.

Menurut Pemuda Umno, pihaknya sedia maklum mengenai isu tambahan kos pengurusan kepada IKS terbabit tetapi ini adalah cabaran yang perlu ditangani dengan bijaksana.

“Kita tidak boleh berada dalam keadaan yang tidak berubah jika ingin terus maju dan berdaya saing setanding dengan negara maju yang lain.

“Arahan gaji minimum RM900 untuk Semenanjung Malaysia dan RM800 untuk Sarawak dan Sabah dibuat Majlis Perundingan Gaji Negara yang telah melaksanakan pelbagai kajian termasuk implikasi terhadap syarikat dan negara dan majlis itu diwakili enam persatuan majikan, enam wakil kesatuan sekerja dan enam wakil kementerian,” katanya.