Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

LETAK JAWATAN LAA !

30 Ogos, 2013

Ini Isyarat Daripada Najib Supaya Menteri Lantikannya Letak Jawatan

Nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (gambar) kepada P Waythamoorthy supaya berada dalam barisan yang sama dengan kerajaan adalah lebih kurang sama seperti memberitahunya supaya berhenti menjawat jawatan timbalan menteri, kata beberapa penganalisis politik.
Aktivis hak Hindu itu berada dalam keadaan `panas’ apabila beliau mempersoalkan polis yang menembak mati lima penjenayah India di Pulau Pinang minggu lalu dan menuduh kumpulan disyaki samseng itu ditembak dari jarak dekat, bukan sebab wujud berbalas tembakan.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia, Dr Jayum Jawan, berkata teguran Najib kepada Waythamoorthy diterima seolah-olah perdana menteri mahu timbalan menteri itu keluar daripada pentadbirannya.
“Saya berpendapat PM bersikap baik, beliau tidak mahu cakap pergi, atau saya tendang awak keluar, tetapi Waythamoorthy patut tahu bagaimana menterjemahkan bayangan yang diberikan PM itu,” katanya kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur.
Tiga menteri Kabinet, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta peguam itu meninggalkan kerajaan jika beliau tidak mahu seiringan dengan tindakan kerajaan.
Najib menyertai tiga menteri berkenaan semalam apabila beliau menegur Waythamoorthy dengan berkata sebagai ahli kerajaan, dia perlu bersama dengan pendirian kerajaan.
Dr Jayum berkata, timbalan menteri itu mengambil tindakan yang salah apabila bercakap mengenainya secara umum, sepatutnya perkara itu dibincangkan bersama rakan dalam kerajaan.
Katanya, jika Waythamoorthy meninggalkan kerajaan, tidak ada kerugian kepada masyarakat India kerana mereka masih diwakili oleh presiden dan timbalan presiden MIC iaitu Datuk Seri G Palanivel dan Datuk Seri Dr S Subramaniam.
“Palanivel dan Dr Subramaniam mengambil langkah bijak apabila tidak menyuarakan pendapat mereka di luar Kabinet. Ini adalah cara yang betul, daripada bercakap di luar dan cuba berlagak jadi hero,” katanya.
Katanya, Waythamoorthy tidak memperolehi apa-apa keuntungan pun apabila menonjolkan dirinya lebih vokal daripada yang lain.
Pengarah Pusat Inisiatif Polisi, Dr Lim Teck Ghee berkata, ulasan Najib turut boleh membawa makna bahawa Waythamoorthy adalah satu beban.
Lim berkata, ia juga boleh diterjemahkan sebagai Umno tidak boleh dan tidak akan menghormati memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangai antara Waythamoorthy – pada ketika itu ketua Hindraf – dengan kerajaan sebelum pilihan raya umum ke-13.
MoU itu adalah rangka tindakan lima tahun bagi kemajuan masyarakat India, dengan mensasarkan untuk membawa kaum India yang miskin ke dalam arus perdana pembangunan kebangsaan.
“PM ada perkara lebih besar untuk difikirkan daripada perjuangan Hindraf dan fokusnya sekarang lebih kepada survivalnya sendiri terutama ketika menjelangnya pemilihan Umno tidak lama lagi.
“Waythamoorthy tidak ada pilihan lain kecuali meletak jawatan. Dia akan menyebabkan reputasinya rosak teruk tetapi sekurang-kurangnya dengan sedikit kehormatan,” katanya.
Waythamoorthy enggan beralah dengan desakan menyuruhnya meletak jawatan dan turut berkata, beliau akan terus memperjuangkan isu itu.
“Saya tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku di negara ini hanya kerana saya dalam kerajaan,” katanya.
Waythamoorthy ketika menjelaskan alasannya untuk bercakap mengenai perkara itu, berkata tembakan itu menyebabkan lima samseng keluar dari jalanan, tetapi ia tidak menyelesaikan peningkatan jenayah.
Beliau berkata, akhbar melaporkan, kira-kira 800 belia India yang kebanyakannya dipercayai ahli geng 04 berkumpul ketika majlis pengkebumian seorang daripada lima penjenayah yang terbunuh dalam kejadian itu.
Katanya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah juga melaporkan bahawa rekod polis mendapati 71 peratus daripada ahli geng itu adalah kaum India.
Pada April lalu, Waythamoorthy bagi pihak Hindraf, menandatangani rangka tindakan lima tahun dengan kerajaan mensasarkan untuk membantu masyarakat India yang miskin.
“Ia tentu dapat membantu belia India yang tidak terkawal ini daripada masuk ke kancah jenayah dan menyertai aktiviti ekonomi yang lebih produktif. Ini adalah pendekatan menang-menang. Saya memilih untuk menyertai kerajaan atas tujuan ini,” katanya.
Profesor akademik Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dr Syed Arabi Idid, mempunyai penerimaan berbeza terhadap kenyataan Najib terhadap Waythamoorthy.
Beliau berkata, kenyataan perdana menteri kepada Waythamoorthy adalah amaran, bukan petanda meminta timbalan menteri itu meninggalkan kerajaan.
“Jika PM mahu dia pergi, beliau akan berkata demikian. Apa yang Datuk Seri Najib mahu ialah Waythamoorthy mengikut pendirian kerajaan,” katanya.
Dr Syed Arabi berpendapat Waythamoorthy patut diberikan peluang kerana beliau masih baru dalam politik.
“Beliau mungkin memerlukan lebih masa untuk faham peranannya dalam kerajaan, tetapi jika beliau mahu kekal dalam kerajaan, beliau patut mengambil nasihat PM,” katanya.
Penganalisis bebas, Khoo Kay Peng, bersetuju dengan Dr Syed Arabi dan berkata, nasihat Najib supaya mengikut pendirian kerajaan patut diterima secara tersurat.
“Salah satu masalah utama Waythamoorthy ialah beliau dibawa masuk ke dalam pentadbiran tanpa tujuan tertentu. Dan oleh kerana peranannya tidak dijelaskan, beliau buat apa yang dilakukan itu untuk menjadikan dirinya relevan,” katanya cuba untuk merasionalisasikan kenyataan Waythamoorthy terhadap kejadian tembakan itu.
Khoo berkata, Putrajaya perlu memberikan timbalan menteri itu kerja yang khas dan mencadangkan supaya Waythamoorthy memimpin jawatankuasa untuk mengkaji masalah jenayah dan gengsterisme di kalangan belia India.
“Beliau adalah orang terbaik bagi tugas itu, dan itu akan menyebabkan beliau fokus kepada sesuatu,” katanya.
Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian, berkata teguran Najib adalah peringatan kepada Waythamoorthy supaya patuh kepada tatakelakuan kerajaan.
“Waythamoorthy mengambil keputusan untuk menyertai kerajaan dan beliau tidak sepatutnya bercakap mengenai isu sensitif secara umum seperti itu. Beliau sepatutnya perlu cuba menyelesaikannya dalam lingkungan sistem.
“Tetapi, saya tidak fikir Najib bermaksud untuk Waythamoorthy mengosongkan jawatannnya,” katanya. ~the malaysian insider

0 orang berkata:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.