• Lim Guan Eng Lim Guan Eng
1 / 1
GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menegaskan kerajaan negeri hanya mengeluarkan nasihat dan tidak melarang mana-mana pawagam di negeri ini menayangkan filem 'Tanda Putera'.

Beliau juga berkata tiada tindakan akan diambil ke atas pengendali panggung wayang yang mengabaikan nasihat kerajaan negeri itu. 

"Kerajaan negeri Pulau Pinang mengulangi bahawa tidak ada sesiapa akan dihalang daripada menonton filem ini di Pulau Pinang.

"Kedua-dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tidak akan menghukum pengendali panggung wayang di Pulau Pinang yang menayangkan filem tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Lim dalam sidang akhbar berkata kerajaan negeri pimpinan DAP meminta pengusaha pawagam di negeri ini tidak menayangkan filem Tanda Putera dengan mendakwa ia mengandungi unsur-unsur sensitif dan fitnah yang tidak sesuai untuk tontonan umum.

Filem arahan Datuk Shuhaimi Baba itu yang diterajui dua bintang utama iaitu Rusdi Ramli sebagai Tun Abdul Razak Hussein dan Zizan Nin sebagai Tun Dr Ismail Abdul Rahman ditayang serentak di 60 pawagam di seluruh negara mulai hari ini.
Lim berkata langkah untuk mengeluarkan nasihat itu juga kerana beliau menganggap filem berkenaan telah melampaui batas dengan menggunakan wang awam untuk    menyebarkan fitnah dan menggalakkan kebencian dalam kalangan masyarakat Malaysia.

"Filem 'Tanda Putera' telah diterbit dengan kos RM4.8 juta yang dibiayai oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC)".

Sementara itu, Golden Screen Cinema (GSC) menerusi laman webnya mengumumkan bahawa filem 'Tanda Putera' tidak akan ditayangkan di Pulau Pinang sebagai mematuhi nasihat yang diumumkan semalam.

Menurut pengumuman itu, GSC akan membuat pembayaran balik kepada pelanggan yang telah membeli tiket filem itu mulai pukul 5 petang hari ini, pada waktu operasi pawagam dalam tempoh seminggu dari tarikh tayangan.

Tinjauan Bernama di beberapa pawagam di Queensbay Mall, 1st Avenue, Prangin Mall, Kompleks Bukit Jambul dan Gurney Plaza mendapati filem berkenaan tidak ditayangkan. - Bernama