• Peniaga parah kena tetak, tembak    Seorang anggota polis memeriksa kesan darah mangsa yang ditemui di lokasi kejadian
1 / 2
KUANTAN - Seorang peniaga kipas parah ditetak dan ditembak dua perompak dalam kejadian samun di hadapan sebuah hotel, Jalan Air Putih di sini awal pagi semalam.

Dua das tembakan yang dilepaskan menembusi belakang badan ahli perniagaan itu manakala sebutir lagi peluru mengenai tulang rusuknya.

Dalam kejadian tembakan itu, mangsa, Lee Siew Meng, 42 dari Kuala Terengganu bukan sahaja di ambang maut malah kereta jenis Peugeot 308 miliknya turut dilarikan.

Mangsa yang parah akibat tembakan selain kesan tetakan di bahagian kepala dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Jamaludin Abdul Majid berkata, mangsa  menjalani pembedahan kira-kira jam 10 pagi semalam bagi mengeluarkan peluru bagaimanapun keadaannya dilaporkan stabil.

Menurutnya, mangsa yang tinggal di  Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu berulang alik ke sini setiap bulan bagi menguruskan perniagaan kipas angin milik bapanya.

“Sebelum kejadian, bapa kepada tiga anak itu difahamkan singgah di sebuah hotel bajet di Jalan Air Putih di sini untuk menginap.

“Semasa keluar dari keretanya, dia terserempak dengan tiga lelaki tidak dikenali di hadapan hotel tersebut sebelum salah seorang daripada mereka mendekati dan bertanya tujuan mangsa ke situ,” katanya.

Jamaludin berkata, mangsa memaklumkan tujuannya untuk menginap di situ bagaimanapun suspek beritahu bilik hotel sudah penuh.

“Dua suspek tiba-tiba memegang mangsa manakala seorang lagi terus melepaskan tembakan mengenai bahagian kanan bahu sehingga menembusi bahagian belakang badan sebelah kiri.

“Peluru kedua terkena dan terlekat pada bahagian rusuk sebelah kiri mangsa,” katanya.

Beliau berkata, selepas kejadian, suspek melarikan diri dipercayai dengan menaiki sebuah kereta manakala seorang  lagi memandu dan melarikan kereta milik mangsa.

“Susulan kejadian, pihak polis menerima aduan daripada orang awam lalu beberapa anggota dikerah ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

“Mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah dihantar ke hospital menggunakan ambulan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang dihubungi untuk bantuan,” katanya.

Beliau berkata, motif kejadian dipercayai samun kenderaan kerana dompet mangsa yang mengandungi pengenalan diri dan wang tunai RM988 tidak diusik.

“Polis menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian termasuk memeriksa rakaman CCTV beberapa premis berdekatan.

“Berdasarkan sebutir peluru yang dikeluarkan daripada tubuh mangsa, kita dapati ia jenis 0.38 milimeter,” katanya.

Beliau berkata, peluru itu akan dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk padanan dan mengenal pasti senjata api digunakan.

“Kita juga akan mengambil keterangan mangsa bila keadaan mengizinkan bagi mendapatkan gambaran wajah suspek untuk lakaran fotofit,” katanya.

Menurutnya, siasatan akan dilakukan dari semua aspek termasuk modus operandi, motif dan kemungkinan kes itu berkait dengan kes tembak dan samun di Jalan Haji Ahmad baru-baru ini.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyan 3(1) Akta Senjatapi Panalti Lebih Berat  1971,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi berusia 41, yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, dia berada di tingkat satu salah sebuah premis berhampiran.

Menurutnya dia terjaga daripada tidur kira-kira jam 4 pagi selepas terdengar bunyi dua das tembakan di tempat letak kereta di bahagian bawah.

“Saya melihat melalui tingkap dan ternampak empat lelaki seperti sedang bergaduh.

“Salah seorang daripada mereka mengacukan pistol manakala dua lagi memegang seorang lelaki disusuli dengan dua das tembakan,” katanya.

Dia berkata, susulan kejadian, dia menghubungi pihak polis untuk bantuan kerana menyedari seorang lelaki terkena tembakan.

“Lepas itu saya nampak tiga lelaki itu melarikan diri menaiki dua buah kenderaan,” katanya.