TATKALA Editor Sinar Harian mengedit temubual eksklusif Profesor Dr Mohammad Selim daripada Universiti Kaherah mengenai pergolakan di Mesir, ada di kalangan kami yang menjangka temubual itu akan menimbulkan polemik bila ia disiarkan.

Ini adalah kerana, pandangan beliau berbeza daripada apa yang kami paparkan di akhbar Sinar Harian sejak Presiden Mursi diguling. Berdasarkan maklumat yang kami terima dan selidiki setakat ini, kami dapati demokrasi Mesir telah dinoda dan keganasan tentera terhadap rakyat, khususnya terhadap penyokong Ikhwanul Muslimin sudah membabi buta.

Bagaimana pun, pandangan Profesor Dr Mohammad Selim condong untuk menyokong tindakan Jenderal Abdul Fatah al-Sisi terhadap Presiden Mursi. Justeru, meskipun berbeza, kami tetap siarkan temubual itu. Sinar Harian sentiasa mengambil pendirian untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan maklumat yang disampaikan daripada kedua-dua pihak. Biar pembaca yang membuat pertimbangan.

Benar, apabila artikel itu terbit pada Edisi Isnin, kami mula menerima komen-komen kritis. Menjelang petang itu dan pagi Selasa semalam, kami mula terasa bahangnya. Siaran artikel bertajuk ‘Dalang Konflik Mesir Didedah’ itu telah di copy-paste dan disebarkan secara viral hingga ia mendapat puluhan ribu tatapan dan ratusan komen.

Kebanyakan reaksi yang terpapar di Facebook, Twitter, Whatsapp, blog, e-mel dan juga laman-laman web merupakan kritik yang pedas. Tidak kurang juga yang berapi dan membakar. Malah ada di antara pembaca yang menyarankan Sinar Harian diboikot.

Maknanya, kemarahan yang dilontar, bukannya terhadap pandangan Dr Mohammad Selim tetapi terhadap akhbar Sinar Harian.

Penulis dan Dramatis Greek, Sophocles pernah berkata, don’t kill the messenger ~ jangan bunuh si pembawa berita. Kata-kata itu beliau cetuskan di dalam salah sebuah karyanya bila melihat betapa manusia tidak suka kepada mereka yang membawa berita yang tidak digemari oleh si pendengar hingga mahu membunuhnya.

Sinar Harian telah memaparkan pandangan seseorang yang rata-rata tidak disukai oleh ramai pembacanya. Kerana itu sepatutnya yang tidak disukai ialah orang yang memperkatakan apa yang tidak disukai itu, bukan pembawa beritanya, iaitu Sinar Harian. Lagi pun, mana mungkin Sinar Harian menyokong kepada kezaliman yang berlaku di Mesir?

Untuk rekod, sebaik sahaja pergolakan di Mesir berlaku, Sinar Harian memaparkan isu Mesir selama enam hari berturut-turut di muka depan kerana kami prihatin terhadap kezaliman dahsyat yang terjadi. Selama enam hari isu Mesir kami siarkan, pertimbangan utama kami bukannya keuntungan.

Kami tahu, mungkin sebilangan pembaca akan muak dengan isu yang sama dan tidak memilih akhbar ini pada hari-hari berikutnya. Namun kami tetap pilih isu Mesir kerana membantah terhadap keganasan tentera terhadap rakyat Mesir.

Pada 16 Ogos, kami pilih tajuk TIDAK GENTAR dengan ulasan ‘Walaupun digempur habis-habisan oleh tentera Mesir, penyokong Mursi tetap tidak berganjak.’

Pada hari berikutnya pula dengan tajuk SUNGAI DARAH dengan ulasan ‘Darah yang mengalir di Mesir diibaratkan sederas Sungai Nil, tidak menghalang jutaan rakyat bangkit menentang kebiadaban tentera yang akibatkan kehilangan 600 nyawa.’

Seterusnya pada 18 Ogos pula, kami paparkan tajuk di muka hadapan, RAKYAT TENTANG TENTERA dengan ulasan, ‘Jutaan rakyat Mesir berhimpun di kawasan masjid bukan lagi untuk Presiden Dr Muhamed Mursi, tetapi kerana marah dengan keganasan tentera yang meragut ribuan nyawa tidak berdosa.’

Keesokannya pula SUMPAH IKHWANUL MUSLIMIN dengan ulasan,  ‘Lagi ramai ahli dibunuh, semakin membara semangat menentang kezaliman.’ Ini diikuti dengan tajuk  SAPU BERSIH dengan ulasan ‘Al-Sisi makin kejam, pemerintah tentera tembak rakyat Mesir yang keluar berdemonstrasi.’

Dan pada 21 Ogos pula dengan tajuk NASIB DUA PEMIMPIN dengan ulasan  ‘Bekas diktator Hosni Mubarak bebas tuduhan rasuah. Bekas Presiden Mohamed Mursi bakal kena penjara.’ Keseluruhannya, kami telah paparkan 34 halaman mengenai pergolakan di Mesir. Tidak pernah kami lakukan liputan sebegini meluas mengenai sesuatu isu antarabangsa. Tetapi kerana ia mengenai kezaliman terhadap kemanusiaan, pelanggaran terhadap demokrasi dan membelakangkan ajaran Islam yang
mengharamkan pembunuhan sesama Islam, kami jadikan ia tajuk utama termasuk Edisi pada hari ini.

Mustahil Sinar Harian berpaling tadah dan membelakangkan kemanusiaan dan keadilan hanya dengan memaparkan sebuah temubual yang berbeza pandangan. Nanti dulu, sayang. Episod Mesir masih panjang. Teruslah bersama Sinar Harian. Mari kita berkongsi rasa jiwa rakyat Mesir yang merana.