Pas gesa tubuh RCI siasat tragedi Memali
SHAH ALAM - Pas menggesa satu Suruhanjaya DiRaja dibentuk bagi mengkaji tragedi Memali.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, memandangkan
timbulnya pelbagai kenyataan yang bercanggah dengan fakta sebenar, Pas
menggesa satu siasatan telus dan adil dapat dijalankan untuk membongkar
peristiwa itu.
"Sehubungan itu, Pas mendesak supaya satu Suruhanjaya DiRaja (RCI)
diwujudkan bagi menyiasat semula tragedi Memali bagi memberikan keadilan
kepada semua pihak dan membersihkan nama-nama mereka yang tidak
bersalah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Apakah peristiwa Memali?]
Peristiwa Memali pada 19 November 1985 mengorbankan 14 orang dan puluhan yang lain tercedera serta ratusan orang ditahan.
Dalam serangan polis terhadap orang kampung itu, Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan Ibrahim Libya, terbunuh.
Dalam satu forum 'Diskusi Politik Malaysia: Dulu dan Sekarang' yang
berlangsung di Kota Bharu pada 2014, bekas Timbalan Perdana Menteri
ketika Tan Sri Musa Hitam berkata, peristiwa Memali merupakan titik
hitam dalam kerjaya politiknya.
Sebelum itu, Tan Sri Musa mengejutkan negara dengan pendedahan bahawa
Perdana Menteri ketika peristiwa berdarah itu berlaku, Tun Dr Mahathir
Mohamad masih berada di Kuala Lumpur pada hari kejadian, bukan di China
seperti dakwaan sebelum ini.
Di Baling, pada tanggal 24 Mei 2014 lalu, Pas telah mengadakan Himpunan
Keadilan Untukmu Memali yang dihadiri seluruh kepimpinan Pas ketika
itu.
Satu forum khas bertajuk 'Tragedi Memali: Pembetulan fakta sejarah
menolak pembohongan kertas putih Kerajaan Malaysia' telah diadakan
ketika itu, di mana saksi-saksi kejadian Memali tampil mendakwa bahawa
Kertas Putih mengenai peristiwa Memali yang dibentangkan oleh kerajaan
di Parlimen penuh dengan pembohongan.
Justeru, ujar Tuan Ibrahim pada pandangan Pas, kerajaan perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mangsa Memali.
1 orang berkata:
Pan mana ada anggap 1mdb satu kes yg besar.. sebab tu pan tak sokong RCI..
Post a Comment