IPOH - Dalam menyampaikan ilmu tidak timbul isu menggangu periuk nasi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf berhubung dakwaan beberapa penceramah bebas bahawa kerajaan cuba menutup periuk nasi mereka dengan menghalang memberi ceramah di televisyen dan radio.

Menurut Mujahid, dakwaan itu menunjukkan mereka 'menjaja agama' dalam mencari rezeki dan ia bertentangan dengan perjuangan sebenar seorang pendakwah agama.  

"Bila ada ustaz cakap menutup periuk nasi mereka itu bermaksud mereka 'menjaja agama' untuk cari makan dan itu tidak betul kerana dalam penyampaian ilmu, tidak timbul isu ganggu periuk nasi orang.

"Agama bukan periuk nasi, tapi agama kena sampai ilmu," katanya yang turut mengulas lanjut isu tular satu senarai penceramah yang tidak dibenarkan muncul di televisyen atau radio bermula Januari 2019.

Beliau yang ditemui  di Konvensyen Nasional Amanah 2018, di sini, hari ini, berkata pejabatnya tidak pernah mengeluarkan arahan atau menyekat mana-mana penceramah untuk berdakwah sebaliknya memberi nasihat kepada golongan berkenaan agar mengikut tiga teras utama yang diperjuangkan.

"Selama ini kita nasihatkan agar penceramah, pengkuliah yang nak muncul di televisyen atau dalam program kita mestilah fahami tiga teras kita perjuangkan iaitu Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Modul Malaysia.

"Maknanya dalam apa juga yang mereka sampaikan selagi tidak bercanggah dengan tiga perkara ini maka kita alu-alukan, kita bukan nak sekat orang hanya kerana kita tak suka dia, tapi lebih kepada melihat content," katanya.

Terdahulu tular senarai nama 10 penceramah yang tidak digalakkan untuk ke udara di televisyen atau radio bermula Januari 2019 antaranya Datuk Mohd Kazim Elias, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali Syamsul Debat dan beberapa orang pencetus ummah.