KUALA LUMPUR - Ancaman terhadap kedudukan orang Melayu dan Islam tetap tidak berubah walaupun pentadbiran kerajaan hari ini bertukar tangan daripada BN kepada PH.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, situasi hari ini semakin parah di bawah pentadbiran PH kerana parti itu mengamalkan dasar keterbukaan kepada semua pihak.

Menurut beliau, berbeza seperti zaman pentadbiran BN, Ibrahim,berkata ancaman yang wujud ketika itu lebih menjurus kepada kelemahan pelaksanaan, ketirisan, dan rasuah.

"Kini di bawah kerajaan baharu dengan slogan Malaysia Baharu, kita berdepan dengan cabaran lebih kritikal dan mencemaskan kerana dasar keterbukaan kerajaan telah membawa kesan dan implikasi negatif kepada umat Islam khususnya.

"Di bawah kerajaan lama sebelum ini, ancaman terhadap orang Melayu, agama Islam dan Perlembagaan negara sememangnya wujud.

"Tetapi dulu lebih kepada kelemahan pelaksanaan, ketirisan, rasuah, serta disebabkan mahu menjaga hati dan mencari undi kerana MCA gagal menambat hati orang Cina akibat permainan politik cauvinis DAP," kata Ibrahim, ketika menyampaikan ucapan dasar sempena perhimpunan agung tahunan (AGM) Perkasa ke-9, di Hotel Regency, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ibrahim turut mempertahankan MCA apabila mengatakan parti komponen BN yang mewakili kaum Cina itu berbeza berbanding DAP.

"Inilah timbulnya persepsi MCA sama dengan DAP tetapi bagi saya DAP tetap berbeza dengan MCA, kerana toleransi yang ditunjukkan melalui pakatan pelbagai kaum sejak merdeka ternyata membawa keharmonian. Ia bermula apabila meledak pada 2008 selepas MCA kalah teruk kepada DAP, sebelum itu tidak ada masalah, bila kalah kalut nak cari undi orang Cina," katanya.

Beliau berkata, kerajaan PH hari ini mencanangkan dasar kesamarataan dan mengubah dasar dan institusi negara.

"Ia amat berbeza dengan keadaan sekarang, di bawah kerajaan baharu, yang kononnya atas kehendak reformasi rakyat, mereka mahu merubah dasar-dasar nasional, institusi penting negara, malah mencanangkan dasar kesamarataan.

"Walhal penolakan rakyat terhadap kerajaan lama, terhadap BN adalah atas isu kos sara hidup yang menghimpit kehidupan rakyat," kata Ibrahim lagi.

Tambahnya, sekiranya kerajaan bermasalah, tukar sahaja pemimpin dan kerajaan dan bukan merombak dasar nasional, terutamanya membabitkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

"Kalau ketua dalam sesebuah organisasi bermasalah, rakyat patut menumbangkan pemimpin tersebut bukan menjahanamkan dasar dan institusi yang sudah sebati dan diterima rakyat sejak merdeka.

"Tetapi yang berlaku sekarang kelambu dibakar menyebabkan 'nyamuk' berkeliaran dan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Rakyat mengharapkan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari, siapa sangka?"ujar beliau.

Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu menjelaskan bentuk-bentuk ancaman yang terpaksa dihadapi orang Melayu dan Islam di negara ini misalnya peristiwa melempar kepala babi dalam masjid, 

mempersoalkan laungan azan, menghina Raja-raja Melayu dan mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu termasuk juga mempertikai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Mengulas berkaitan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini sedang bertarung nyawa itu cedera dibelasah dalam serangan kekecohan di Kuil Maha Mariamman USJ25, Seafield, Subang Jaya.

Ibrahim berkata, sekiranya cedera itu namanya Ah Chong atau Muniandy tentunya runtuh langit di Malaysia ini.

"Hal demikian saya cadang tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk siasat kes ini. Melayu jangan hanya sekadar mengeluh tidak jadi apa-apa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim mengesyorkan kerajaan untuk mewujudkan akta baharu yang dinamakan Akta Menghina Islam dan Raja-raja Melayu (Amira).

"Penghinaan yang biadab terhadap agama Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu dan cabaran mengganggu gugat Fasal 153 asas Perlembagaan Persekutuan perlu ditangani segera kerana kita lihat perbuatan ini semakin menjadi-jadi selepas Akta Hasutan (ISA) dimansuhkan.