KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan tujuan  Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak relevan memandangkan kerajaan tidak akan meratifikasikan perjanjian tersebut.

Menurutnya, kerajaan tidak meratifikasi ICERD, maka semua kebimbangan tidak terpakai lagi seperti kedudukan Melayu-Islam dan Raja-raja Melayu.

“Jadi apa tujuannya? Demo kalau skala kecil pun perlu ada sebab, supaya masa tenaga dan wang ringgit tidak dibazirkan.

“Sebab berdemo jika hendak buktikan kekuatan Melayu-Islam perlulah ada alasan dan apakah Melayu-Islam lemah?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan bantah ICERD: Enam jalan ditutup]
[ARTIKEL BERKAITAN: Dua lokasi bantahan ICERD Sabtu ini]

Menurutnya, dakwaan ‘lemah’ hanyalah satu persepsi yang cuba memerangkap minda orang Melayu agar sentiasa rasa tidak selamat dan tidak percaya pada diri sendiri dengan menuduh kaum lain berkonspirasi.

“Dendangan Melayu terancam ini bukan baharu malah berkarat dalam minda sesetengah Melayu dan setiap kali Melayu memilih jalan ke hadapan, mereka akan diheret ke teori 'ancaman' ini.

“Kalau inilah sebab perhimpunan maka ia umpama radio lama yang cuba dimainkan semula buat sekian kali. Berbaloikah?,” soalnya.

Beliau turut mendakwa, perhimpunan ini mengirimkan mesej yang silap kepada rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.

“ICERD adalah komitmen kepada memerangi perkauman yang mewajarkan penindasan kepada kaum lain. Dalam nada yang sama kelompok anti ICERD mengulangi pendirian bahawa orang Melayu tidak menindas kaum lain di negara ini.

“Orang Melayu seharusnya mengirim mesej bahawa mereka bukan pengamal perkauman justeru tidak perlulah menentang ICERD sebab ICERD adalah anti perkauman walaupun kita tidak meratifikasinya.

Sepatutnya yang berhimpun anti ICERD ialah penindas kaum dan pentaksub kaum yang tidak mahu amalan mereka disekat dengan perjanjian ini,” jelasnya.

Tambah beliau, sekiranya perhimpunan tersebut penuh dengan kekeliruan maka potensi ia diisi dengan motif lain yang membahayakan masyarakat berbilang kaum tidak boleh dipandang remeh.

“Kalau begitulah realitinya, maka anti ICERD hanyalah alasan untuk mencapai tujuan sempit lain yang mereka sahaja mengetahuinya.

“Malangnya ramai yang akan diheret dalam kekeliruan ini dan untuk itu sekali lagi saya bertanya, himpunan anti ICERD untuk apa sebenarnya?,” ujarnya.