Insiden 30 Ogos: Cara penyelesaian PRU13, kata Zahid
4 September 2012
KUANTAN – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan tindakan segelintir pihak memijak gambar pemimpin negara selain mahu menukar Jalur Gemilang adalah satu perbuatan biadab.
Menurutnya, walaupun berbeza pegangan dan organisasi politik, sebagai rakyat, mereka tidak boleh menghina mana-mana pemimpin walau dengan cara apa sekalipun.
“Gambar merupakan simbol kepada seseorang jadi tidak seharusnya perkara sebegini berlaku.
“Pemimpin pembangkang sepatutnya boleh menasihatkan golongan pemuda mereka supaya lebih beradab dan tidak mengamalkan budaya biadab kerana tidak sesuai dengan budaya dan cara kita berpolitik.
“Saya juga melihat bahawa tindakan perundangan boleh dilakukan ke atas mereka tetapi memandangkan ia merupakan satu tindakan politik maka harus diselesikan cara politik juga,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media selepas selesai mengikuti Lawatan Editor Kanan Media ke Pangkalan Tentera Udara Malaysia (TUDM) dekat sini, semalam.
Beliau berkata, cara penyelesaiannya dengan menolak semua calon daripada pakatan pembangkang.
“Kita tidak mahu rakyat negara diajar dengan budaya yang biadab apatah lagi menghina pemimpin nombor satu negara. Mahu tidak mahu sebagai sebuah negara demokrasi mereka perlu mengiktiraf bahawa Perdana Menteri sekarang adalah Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
“Dan jika mereka kerajaan sekali pun atau berkeadaan sebagai pembangkang tentu mereka pun marah jika Pemuda Umno memijak gambar pemimpin dan menukar bendera parti mereka,” katanyayang juga Naib Presiden Umno.
Tambahnya, kesedaran baru perlu ada terutamanya kepada anak muda yang berada di atas pagar agar berfikir dengan rasional berkaitan isu tersebut.
“Dengan itu mereka perlu berfikir siapakah lebih sesuai, berwibawa dan beradab dalam menguruskan hal ehwal dalam bidang politik harian,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment