02 Ogos, 2013
Prof Agus Sekolahkan Pemimpin Umno..
Saya terkejut apabila membaca kenyataan Pengerusi Umno Selangor menggesa
polis menyiasat seorang ibu yang memuatnaik gambar yang menunjukkan
murid SK Seri Pristina makan di bilik persalinan di bawah Akta Hasutan.
Mengapa sampai begitu?
Kenapa perlu kita menyiasat beliau di bawah Akta ini? Apakah tindakan
ibu murid tersebut ada sifat menghasut? Yang mustahak, adakah ini fitnah
supaya rakyat saling membenci antara satu sama lain?
Pada saya, tindakan ibu yang muat naik gambar tersebut adalah untuk
menyatakan perasaan tidak puas hati cara anak-anak makan dalam bilik
persalinan sahaja.
Tidak ada kaitan dengan tujuan menghasut dan seumpamanya, apatah lagi melibatkan soal perkauman.
Betul ibu itu sepatutnya mengadu kepada PIBG terlebih dahulu sebagai
saluran yang betul, tetapi adakah wajar untuk kita menyiasat beliau di
bawah Akta Hasutan dengan tindakannya itu? Ini isu pokoknya yang perlu
kita bahaskan.
Pada saya, tidak wajar untuk ibu tersebut disiasat di bawah Akta Hasutan
kerana nantinya akan membuatkan rakyat takut untuk mengadu. Tetapi saya
setuju jika ibu dan guru besar sekolah disiasat untuk mencari kebenaran
dan keadilan kepada kedua-dua pihak.
Inilah yang meriaukan saya dengan keadaan sekarang? Mengkritik dan
mengadu dianggap sebagai tidak berterima kasih, lalu keluarlah kenyataan
yang pelik-pelik dari pemimpin kita.
Jika harga ayam mahal, jangan makan ayam; harga beras naik, makan ubi
kayu; jika tidak puas hati dengan sistem politik negara, berhijrah ke
negara lain? Pertanyaannya, apakah itu jawapan pemimpin kita kepada
luahan rakyat?
Sepatutnya jawapannya mudah sahaja. Pihak berkuasa perlu menegaskan akan
menyiasat aduan tersebut supaya memberi keadilan kepada semua pihak.
Sepatutnya kita cari yang benar, atasi kelemahan dan kekurangan supaya
murid dapat belajar dengan selesa. Jangan kita ancam aduan yang dibuat
dengan Akta Hasutan?
Saya merayu supaya kita jangan hanya melihat isu kantin sekolah, isu
pengetua suruh murid balik ke China dan India sebagai soal parti dan
kaum semata-mata.
Kita juga perlu lihat dari aspek lain. Soal kantin misalnya, kita boleh
lihat berlakunya aduan seperti ini kerana kita menghadapi masalah
prasarana sekolah yang tidak mencukupi, maka ini bermakna kita perlu
cari peruntukan untuk meengkapkan kekurangan ini.
Kita perlu selesaikan masalah dengan melihat kepada akar rumputnya,
bukannya dengan memberi jawapan yang tidak berkaitan dengan masalah
pokok.
Dalam soal pendidikan janganlah kita berpolitik 24 jam. Dalam soal
perkauman dan agama, kita perlu berhati-hati dengan kenyataan.
Teringat saya kata-kata Khir Johari dulu apabila merujuk kepada hubungan
antara kaum di negara kita: Cina itu ibarat pasir, India ibarat air dan
Melayu ibarat simen. Apabila ketiga-tiganya digaul bersama, ia akan
membentuk satu blok konkrit yang kukuh.
Apakah kenyataan Tan Sri Khir Johari 50 tahun dulu itu masih relevan
lagi dengan kenyataan hubungan kaum kita hari ini? Kitalah yang
menjawabnya.
Mohammad Agus Yusoff
0 orang berkata:
Post a Comment