Kamaruzaman Mohamad

SHAH ALAM - Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (WP) menyokong kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan Tantawi tentang perlunya perlaksanaan undang-undang Islam di Malaysia untuk menangani masalah jenayah.

Ketua Pemuda Pas WP, Kamaruzaman Mohamad berkata, sistem undang-undang Islam adalah terpakai pada sepanjang zaman baik masa lampau, kini dan masa depan kerana undang-undang Islam adalah termaktub di dalam Al-Quran.

Tambah beliau, undang-undang tersebut terpelihara sehingga ke akhir zaman dan sesuai untuk dipraktikkan di negara ini walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum.
“Sistem perundangan Islam ini adalah undang-undang yang ditetapkan oleh ALLAH SWT dan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya adalah sesuai untuk semua manusia.

“Kepelbagaian kaum di negara ini bukan alasan untuk tidak melaksanakan undang-undang Islam, bahkan, penganut agama lain juga perlu memberikan ruang kepada undang-undang Islam membuktikan keaslian dan keberkesanannya dalam memberikan keadilan kepada seluruh rakyat.

“Sejarah negara kita telah membuktikan bahawa undang-undang Islam mampu dilaksanakan dalam masyarakat majmuk dan berbilang agama  iaitu dengan merujuk kepada perlaksanaan undang-undang Islam pada zaman pemerintahan Melaka dahulu,”  katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Kamaruzaman, Malaysia masih lagi mengamalkan undang-undang ciptaan penjajah dengan merujuk kepada Undang-undang Umum Inggeris yang terbukti tidak berjaya mengekang kadar jenayah di negara kita.

“Walaupun Malaysia telah merdeka lebih 50 tahun, hakikatnya kita masih lagi terjajah.

“Lebih malang lagi apabila undang-undang ciptaan Inggeris ini tidak mampu mengatasi masalah sosial dan jenayah yang kian membarah kini,” dakwanya lagi.

Sehubungan itu menurut beliau, sudah tiba masanya bagi para pemimpin negara kembali ke landasan yang sebenar dengan melaksanakan apa yang disuruh oleh ALLAH.

“Kembalilah kepada perintah ALLAH SWT. Insya-ALLAH negara kita akan selamat dan akan dirhamati oleh-NYA,” katanya.