26 Ogos, 2013
Disebabkan Kenyataannya, Anak Timbalan Pengarah Kastam Di Panggil Polis Untuk Disoal Siasat
Disebabkan kenyataan kepada The Malaysian Insider hujung minggu lalu, anak kepada Datuk Shaharuddin Ibrahim, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kastam, dipanggil polis hari ini untuk disoal siasat.
Akhtar Shaharuddin (gambar,kanan), 30, hadir bersama
peguamnya Khairul Faizi Mohammad Muhsin, tiba di unit Siasatan Jenayah,
Ibu Pejabat Polis Putrajaya kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
"Saya cuma hadir untuk memberi pengesahan kepada polis setiap kenyataan
yang dibuat dalam The Malaysian Insider," katanya ketika ditemui selepas
disoal siasat polis.
Khairul Faizi berkata, soal siasat yang berlangsung kira-kira sejam itu
dikendalikan DSP Hamzah Buman dan ia berjalan dengan baik.
"Semuanya baik, kita beri kerjasama yang baik dengan polis dan polis pun
begitu, apa yang saya tekankan kenyataan anak guam saya cuma pandangan
peribadi beliau.
"Polis juga memaklumkan soal siasat ini perlu supaya tidak ada pihak
yang cuba menyebarkan maklumat yang salah selain tidak menganggu
siasatan," katanya.
Beliau berkata, polis tidak mahu mana-mana maklumat yang salah di mana
boleh menjejaskan siasatan polis terutama membabitkan kes penyeludupan
kereta mewah di Langkawi.
Ditanya perkembangan kes bunuh Timbalan Ketua Pengarah Kastam itu,
Khairul Faizi berkata, setakat ini polis masih lagi menjalankan
siasatan.
"Polis memaklumkan kepada kita, kes itu kini masih dalam siasatan dan ia
menunjukkan satu perkembangan sangat positif dan kita berharap pihak
berkuasa segera dapat menangkap suspek," katanya.
Sabtu lalu The Insider Malaysian melaporkan pengakuan Akhtar yang merasakan pembunuhan bapanya dirancang.
Beliau turut mengesyaki pembunuhan bapannya mempunyai kaitan dengan
sindiket penyeludupan kereta berpangkalan di Pulau bebas cukai Langkawi.
Menurut Akthar, beliau yakin dalang pembunuhan bapanya adalah dari jabatan Kastam sendiri.
"Saya pasti hal itu biarpun polis menafikannya," kata arkitek berumur 30 tahun itu.
"Bapa saya pernah menceritakan kekecewaan beliau terhadap penyelewangan
kuasa pegawai kastam yang terbabit dalam rasuah ini berkaitan sindiket
penyeludupan kereta di Langkawi.
"Tidak lama selepas membuat aduan itu, beliau menerima surat pertukaran
kerja. Surat itu, bagaimanapun ditarik balik apabila Kesatuan Kastam
campur tangan dan berjuang mempertahankan hak bapa saya," katanya.
Akthar juga membuat pendedahan mengenai panggilan telefon yang diterima
bapanya dari seorang wartawan sebelum kes tembak itu berlaku.
Shaharuddin ditembak mati di Putrajaya pada 26 April, menjelang pilihan
raya umum ke 13 (PRU13) beberapa minggu sebelum keganasan berkaitan
tembakan tersebar ke seluruh negara.
Kes itu mengejutkan kerana ia membabitkan pegawai tinggi kerajaan.
Baca berita berkaitan di SINI.
0 orang berkata:
Post a Comment