Mahkamah pilihanraya jadi jalan buntu
- Written by Harakahdaily
KUALA LUMPUR: PAS
menyifatkan, mahkamah pilihanraya yang menjadi tempat akhir saluran sah
rakyat mengadu mengenai kepincangan pilihan raya kini bertukar menjadi
jalan buntu.
Ini berikutan pelbagai keputusan yang
dibuat oleh mahkamah berkenaan sangat diragui dan menyusahkan
pihak-pihak yang ingin mencari keadilan, kata Ketua Penerangannya, Datuk
Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sehubungan dengan itu, beliau bertanya,
apakah penalti yang tinggi yang dikenakan pada pempetisyen pilihanraya
ialah amaran tersirat agar setiap kali pilihanraya jangan ada pihak yang
berani membuat petisyen walaupun tidak berpuashati atau ini satu trend
baru dalam kehakiman?
Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai
mengulas keputusan mahkamah pilihanraya untuk menolak petisyen
pilihanraya yang difailkan BN dan Pakatan Rakyat di peringkat awal
sebutan kes dengan alasan teknikal sahaja.
Pempetisyen pula dikenakan untuk
membayar penalti kos yang sangat besar sehingga RM150,000 sebagaimana
yang berlaku di petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri Kuala Brang,
Terengganu pagi ini.
"Mahkamah sepatutnya menjadi tempat
rakyat mengadu mendapatkan keadilan. Ia adalah jalan terakhir bagi
rakyat kerana ia menelan belanja yang tinggi. Kos penalti yang
diperintah bayar untuk petisyen pilihanraya yang sangat tidak munasabah
ini bukanlah satu usaha positif bagi rakyat menjadikan mahkamah sebagai
tempat mengadu permasalahan mereka," tegas Tuan Ibrahim.
Pilihanraya umum ke 13 mencatat sejarah petisyen paling banyak iaitu 60 dengan 39 daripada Pakatan Rakyat dan 21 daripada BN.
Tuan Ibrahim berkata sekurang-kurangnya
mahkamah harus memulakan pembicaraan untuk mendengar hujah pempetisyen
daripada terus menidakkan hak pempetisyen untuk mengadu atas sebab
teknikaliti.
Alasan teknikal seperti petisyen hendaklah dibuat sendiri oleh calon, bukan melalui peguam dan pelbagai isu teknikal lain.
"Jelas, mahkamah tidak membantu rakyat
bagi memudahkan prosedur petisyen. Rakyat menfail petisyen kerana
kepincangan sistem pilihanraya yang dialaminya bukan suka-suka.
Sepatutnya mahkamah memberi keutamaan kepada isi petisyen daripada
segalanya," tegasnya lagi.
Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menyoal garis panduan yang digunakan untuk menetapkan kos yang terpaksa dibayar.
"Apakah tiada 'tanda harga' bagi
mengawal agar pempetisyen boleh mempersiapkan jumlah wang bagi bersedia
ke arah itu ketika membuat petisyen? Apakah ini menandakan pilihanraya
ini sekarang hanyalah medan untuk orang kaya-kaya?" soal beliau.
Dengan kes-kes petisyen pilihanraya yang
berakhir dengan pempetisyen dikenakan penalti melampau, Tuan Ibrahim
berkata PAS khuatir rakyat terpaksa memilih jalanraya kerana nampaknya
inilah medan terbuka yang jelas lebih murah bagi menyatakan bantahan
terhadap kepincangan pilihanraya.
"Apapun, PAS akan terus berjuang bersama
PR dan rakyat seluruhnya bagi menuntut satu sistem pilihanraya yang
lebih adil dalam sistem demokrasi di negara ini. Sudahlah rakyat hilang
kepercayaan kepada SPR dan jangan lupa sehingga mahkamah pilihanraya pun
kurang diyakini rakyat," hujah beliau.
0 orang berkata:
Post a Comment