SHAH ALAM - Pas memandang serius tuduhan yang berlaku di dalam Tabung Haji (TH) dan berpandangan adalah tidak wajar sekiranya tuduhan ini dibicarakan melalui media oleh seorang menteri yang 'masih mentah'.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pertuduhan menteri melalui media boleh menimbulkan persepsi dan percanggahan maklumat yang mengelirukan.

Menurutnya, Pas menyarankan agar satu penilaian menyeluruh dikendalikan di bawah seliaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ataupun Parlimen.

“Ini bagi meneliti dan mempertimbangkan setiap syor yang dikemukakan oleh juruaudit bebas yang telah dilantik, sebelum dilaksanakan oleh kerajaan yang masih baharu dan kerap membatalkan keputusan yang dibuat mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tabung Haji ada defisit RM4.1 bilion, langgar akta TH 1995]
[ARTIKEL BERKAITAN: Isu TH: Kenyataan Mujahid tak tepat, kata Azeez Rahim]

Abdul Hadi berkata, Pas juga menasihatkan agar kerajaan tidak mempolitikkan isu ini sehingga merosakkan imej TH, dan tidak bersikap berat sebelah dalam menjalankan siasatan terhadap kes rasuah dan penyelewengan melibatkan pemimpin PH yang masih belum disiasat dan didakwa sehingga hari ini.

“Pas meletakkan keyakinan terhadap integriti dan profesionalisme di pihak lembaga pengarah, pengurusan tertinggi, pegawai dan kakitangan TH dalam melaksanakan tugas bagi melindungi kepentingan para pendeposit.

“Janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” katanya lagi.

Kelmarin, Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mendakwa pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 hingga 2017 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Namun perkara itu disanggah oleh bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyifatkan perkara itu sebagai tidak tepat.

Menurutnya, setiap tahun Jabatan Audit Negara telah mengaudit seluruh bentuk pelaburan malah, memperakukannya melalui sijil bersih.