Speaker larang petugas media kumpul di lobi Parlimen
KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia
hari ini membuat ketetapan melarang petugas media daripada berkumpul di
lobi Parlimen berkuat kuasa serta merta dan hanya dibenarkan berada di
pusat media yang telah disediakan.
Beliau membuat keputusan itu berikutan rungutan yang diterima daripada
ahli parlimen yang kurang selesa dengan kehadiran ramai petugas media di
lokasi tersebut.
"Saya sendiri kurang selesa kerana saya rasa ada media di merata-rata
seolah-olah ruang di luar sana (lobi Parlimen) adalah tempat berkelah.
"Sehubungan itu, saya membuat ketetapan bahawa wakil media massa yang
hadir di Parlimen hendaklah membuat liputan sesi persidangan Dewan
Rakyat atau sidang media ahli parlimen hanya di pusat media. Berkuat
kuasa serta merta," katanya sejurus selepas sesi soal jawab lisan tamat
pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Pandikar Amin berkata, Peraturan 94, Peraturan-Peraturan Majlis
Mesyuarat Dewan Rakyat memperuntukkan kuasa kepada Yang Dipertua Dewan
Rakyat untuk memberikan kebenaran kepada wakil media massa untuk membuat
liputan di Parlimen.
Pandikar Amin menegaskan sekiranya pihak media didapati melanggar
mana-mana peraturan yang ditetapkan, Yang Dipertua Dewan Rakyat
mempunyai hak untuk menarik balik kebenaran tersebut.
Selepas membuat peraturan tersebut, Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena)
bangun untuk meminta penjelasan daripada Pandikar Amin bahawa Parlimen
perlu mengambil kira jarak pusat media dengan lobi Parlimen yang
menyukarkan petugas media untuk melakukan tugas mereka terutama dalam
memantau pergerakan ahli parlimen dan menteri Kabinet.
Katanya, faktor itu memaksa petugas media berkumpul di lobi Parlimen
bagi mendapatkan respons atau maklumat balas segera daripada mana-mana
ahli parlimen dan menteri Kabinet berhubung isu dan perkara tertentu.
"Bagi saya, saya tidak menghadapi sebarang masalah dengan kehadiran
mereka. Malah mereka memeriahkan Parlimen. Saya minta pihak Parlimen
sediakan sedikit ruang untuk mereka di lobi Parlimen," katanya.
Menjawab kenyataan Mahfuz, Pandikar Amin berkata, tidak ada mana-mana
ahli parlimen di negara lain yang diterjah petugas media sejurus keluar
dari dewan persidangan.
Sebelum ini, kebiasaannya berpuluh petugas media dari pelbagai agensi
berkumpul di lobi Parlimen berhampiran beberapa pintu masuk ke Dewan
Rakyat bagi menjalankan tugas mereka.
Pusat media pula terletak di tingkat bawah bahagian belakang bangunan Parlimen. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment