Keluarga bantah PAN jaja nama Tok Guru
PENGGUNAAN nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh Parti Amanah Negara (Pan) dibantah ahli keluarga mantan Menteri Besar Kelantan itu.
Hal tersebut berhubung Seminar Tok Guru Nik Aziz yang akan dianjurkan Pan Batu pada 9 April depan di KLCAH, Kuala Lumpur.
Pihak terbabit juga dikatakan akan menjelajah bermula di Kuala Lumpur menjaja nama tokoh agama berkenaan bagi kepentingan Pan dan Pakatan Harapan.
Keluarga menganggap ia merupakan satu penghinaan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang sepanjang hidupnya berjuang dalam wadah PAS.
Anak almarhum, Nik Mohamad Abduh berkata keluarganya menafikan kenyataan pemimpin Pan sekiranya Tok Guru masih hidup, turut menyokong parti serpihan itu.
"Kami sekeluarga menganggap ia merupakan satu penghinaan kepada Tuan Guru yang hidup istiqamah bersama perjuangan PAS sepanjang hayatnya.
"Tiba-tiba parti lain, parti serpihan mempermainkan nama Tuan Guru yang kekal istiqamah sepanjang hayatnya," katanya pada sidang media di Pulau Melaka, Kota Bharu hari ini.
Menurutnya, atas tekanan keluarga dan penyokong PAS sendiri, beberapa tindakan termasuk laporan polis dilakukan dan berharap seminar itu dihentikan.
Sekiranya permintaan tersebut gagal dipatuhi pihak penganjur beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah.
Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa pagi tadi oleh seorang lagi anak almarhum, Nik Adli.
Beliau mewakili ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, adik beradik, cucu dan adik beradik almarhum membantah sekeras-kerasnya program itu.
Adik kepada almarhum, Nik Din Nik Mat berkata, seminar anjuran Pan itu seolah-olah hendak mempermainkan kredibiliti serta ketokohan pemimpin berkenaan.
"Penggunaan nama Tuan Guru hanya sebagai alasan untuk menarik sokongan kepada parti itu sedangkan arwah tetap istiqamah dalam PAS sejak sekian lama.
"Semua ahli keluarga sememangnya tidak bersetuju terhadap penggunaan nama ini pada seminar 9 April ini di Kuala Lumpur," katanya.
Turut hadir pada sidang media di kediaman almarhum, Nik Muhammad Nasim Nik Mat dan ahli keluarga terdekat. - HARAKAHDAILY 25/3/2017
1 orang berkata:
Kenapa la nama org yg dah mati nak dipolitikkan juga..muhasabah diri...cari la modal lain...esok2 org tambah benci..
Post a Comment