Pas tidak perlu buang masa isu parti lain
KOTA BHARU - Pemimpin Pas tidak sepatutnya membazir masa mencadangkan
sesuatu yang hampir pasti tidak akan berlaku seperti menggesa Amanah dan
Bersatu tidak meletakkan calon mereka di kerusi yang akan Pas tandingi
dalam PRU14.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia, UUM, Dr Kamarul Zaman
Yusoff, berkata, gesaan itu juga tidak selari dengan keputusan parti
mahupun kenyataan pimpinan tertinggi parti yang menekankan betapa Pas
tidak akan menjalinkan kerjasama dengan DAP dan Amanah serta pihak
bersikap keras terhadap Islam.
“Saya agak terkejut dengan kenyataan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas
Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, yang menyarankan supaya Amanah
dan Bersatu tidak mengganggu kerusi Pas,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, telah menegaskan
hal tersebut dalam beberapa kenyataan media, yang mana pada 19 Disember
2016 beliau menyebut betapa Pas akan tetap terus berpegang dengan
keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Syura Ulama Pas tersebut.
“Turut ditegaskan adalah betapa Pas sedang mengkaji dengan mendalam
setiap satu per satu kerusi yang ada di negara kita, betapa keputusan
Pas tidak akan tertakluk kepada mana-mana pihak dan betapa Pas akan
hanya membuat keputusan apabila tiba masanya yang sesuai,” katanya.
Menurutnya, begitu juga pada 25 Mac 2017, Abdul Hadi menyebut betapa
Pas tidak bersama Pakatan Harapan kerana di dalamnya ada parti dan
pemimpin yang terus-menerus menentang Islam dan tidak menyertai Barisan
Nasional yang dibelenggu masalah dan penyakit.
Dalam kenyataan itu juga, Presiden Pas telah memberikan satu ibarat
yang sangat menarik iaitu bahawa 'menyertai BN laksana memikul biawak
hidup' manakala 'menyertai Pakatan Harapan biawaknya lebih besar dan
penyakitnya lebih parah'.
Berdasarkan kenyataan Presiden Pas itu katanya, tidak wajar mana-mana
pemimpin Pas melontarkan apa-apa cadangan yang boleh membayangkan
kesediaannya untuk menjalinkan kerjasama tidak langsung dengan Pakatan
Harapan untuk menumbangkan BN.
Apatah lagi menurutnya, bila pemimpin Pas, termasuk Mursyidul Amnya,
Hashim Jasin, telah berulang kali menegaskan betapa Pas akan menyertai
PRU 14 melalui blok ketiga, Gagasan Sejahtera, yang membuka pintu kepada
sesiapa saja yang menerima kepimpinan Islam.
“Apakah ertinya penawaran blok ketiga yang menawarkan budaya politik
matang dan sejahtera jika ia mengharapkan kerjasama blok kedua, yang
'biawaknya lebih besar dan penyakitnya lebih parah' berbanding blok
pertama, untuk mengalahkan blok pertama?” soalnya.
Felo Utama, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia itu juga berkata,
apatah lagi bila sebahagian besar pemimpin blok kedua itu telah
berulang kali menegaskan tekad untuk merampas kerusi milik Pas, malah
untuk menjatuhkan Kerajaan Kelantan, termasuk menguar-uar kononnya
undian untuk Pas menyamai undian untuk Umno.
“Pemimpin Pas perlu lebih berhati-hati di dalam membuat kenyataan bagi
memastikan kenyataan mereka konsisten dengan keputusan parti mahupun
kenyataan pimpinan tertinggi parti selain memastikan kenyataan mereka
tidak bercanggah dengan konsep demokrasi,” katanya.
3 orang berkata:
Apa pasal blog ni subahat iklankan nombor ekor?
Iklan mcm ni blogger boleh dapat komisyen boss. PRU dah nak dekat, selain derma guna tin milo dan bank in ke Affin Bank, cara ni pun boleh dapat dana utk guna masa PRU nanti. Tebang balak suka2 hati ok jerr, takkan iklan nombor ekor haram kot?? Ini kan utk dirikan negara melayu islam takkan tak boleh? Takbirrrr.
Komisen tu sedekah pada parti untuk mendapat keredhoan......
Post a Comment