Usul putus tahaluf siyasi diterima sebulat suara
ALOR SETAR - Semua perwakilan sebulat suara menyokong usul memutuskan
tahaluf siyasi bersama PKR, selepas usul itu dibentangkan wakil Dewan
Ulamak Pas Pusat, Zulkifli Ismail.
Sebaik perbahasan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari
selesai, Pengerusi Tetap Muktamar, Hussin Ismail bertanya kepada
perwakilan dan kesemuanya bangun menyatakan sokongan dengan melaungkan,
‘setuju’ beramai-ramai.
Terdahulu, pada pembentangan usul, Zulkifli merujuk kepada perlembagaan
Pas, Fasal 5 (Tujuan Pas), Fasal 6 (Usaha-Usaha) dan Fasal 7 (Hukum dan
Kekuasaan) sebagai hujah agar Pas memutuskan hubungan dengan PKR.
“Majlis Syura Ulamak menetapkan syarat Tahaluf Siyasi, antaranya
tahaluf mestilah dijalankan sebagai wasilah menegakkan Islam,
memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta membuka ruang untuk
pelaksanaan Islam,” katanya.
Menurutnya, dasar-dasar Islam hendaklah dipertahankan, Intima’
diberikan kepada kepimpinan gerakan Islam dan bukan kepada pakatan
tahaluf.
“Tahaluf hendaklah dijadikan ruang dan medan menyampaikan dakwah, di
mana matlamat kemenangan Islam tidak boleh menghalalkan tahaluf secara
mutlak,” katanya.
Bagaimanapun, Zulkifli bersetuju mandat membuat penilaian terhadap tahaluf mestilah diputuskan Majlis Syura Ulamak.
“Keputusan muktamad tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulamak
menurut peruntukan perlembagaan Pas. Apa sahaja keputusan akan
dipatuhi,” katanya.
Menurutnya, terdapat banyak pelanggaran syarat sepanjang tempoh
berlangsungnya tahaluf siyasi antara Pas dan PKR, yang boleh dibuktikan
melalui beberapa kejadian, antaranya penglibatan PKR menyokong calon
Amanah menentang Pas pada PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
“Kegagalan PKR memberi sokongan kepada usaha Pas memperkasakan mahkamah
syariah melalui pindaan akta 355, seolah-olah bersama dengan pendirian
DAP yang menentang pindaan akta itu.
“Kenyataan pimpinan PKR secara terbuka memperlihatkan keceluparan dan
kebiadapan mereka terhadap Pas sekaligus tidak menunjukkan setiakawan.
Sehubungan itu, kami usulkan tahaluf siyasi antara Pas dan PKR
diputuskan,” katanya, disusuli sorakan gemuruh perwakilan.
“Islam mengajar kita patuhi perjanjian dan tidak boleh dilanggar
sewenangnya. Hendaklah pihak terbabit hormati isi perjanjian, tidak
khianati dan tidak bantu musuh Islam. Kita tegas terhadap tahaluf jika
ada rakan yang tak patuhi syarat,” katanya.
Menurutnya, Pas perlu tegas berdepan dengan rakan tahaluf yang cuba
mewujudkan gelombang sekular sosialis yang berbahaya kerana ia merupakan
aspek ekstremis.
Usul itu dibawa bersama Pas kawasan Bandar Tun Razak, Beruas, Labis,
Lumut, Bera, Serdang, Pandan, Batu, Shah Alam, Bayan Baru, Titiwangsa,
Kuantan, Paya Besar, Padang Terap, Kuala Terengganu, Kuala Kangsar,
Marang, Bukit Mertajam, Kuala Nerus, Dungun, Kuala Langat dan Dewan
Ulamak Pas Pusat.
1 orang berkata:
Ooo....patut pun nak putus, rupanya sudah mula gila jawatan dunia. Kalau nak jadi calon kena banyak bodek dan ampu presiden sebab baru boleh dapat tauliah. Patutlah dalam muktamar sekarang ramai pewakilan sibuk dengan ayat-ayat mengampu tapi kurang pula surah-surah dakwa dan bersyukur. Penghinaan dan maki hamun sudah menjadi budaya dalam muktamar selepas muktamar dimulakan laungan keramat 'Jahanam PAN'.
Post a Comment