Najib didakwa hina mahkamah
KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun
Mahathir memfailkan permohonan kebenaran agar Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak dikomitkan atas tuduhan menghina mahkamah.
Permohonan kebenaran itu difailkan melalui peguamnya, Muhammad Haniff Khatri Abdulla di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
Tindakan itu diambil ekoran kenyataan dibuat Najib pada 7 Julai lalu
berhubung Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menjadikan Mukhriz perdana
menteri adalah berkaitan isu sama dalam saman yang difailkannya terhadap
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad.
Melalui notis permohonan kebenaran untuk pengkomitan, Mukhriz mendakwa
Najib telah membuat kenyataan pada 7 Julai lalu dan mendakwa kenyataan
yang dibuat itu berkaitan isu sama yang menjadi asas kepada tindakan
saman fitnah yang sedang berjalan.
“Permohonan ini dibuat berdasarkan kenyataan yang dibuat (Najib) secara
terang dan jelas merujuk kepada plaintif (Mukhriz) yang boleh dikira
mencampuri urusan mahkamah secara salah atau tidak wajar.
Mukhriz melalui notis permohonan itu berkata, kenyataan tersebut
membawa maksud dan isu sama yang menjadi asas kepada tindakan saman
fitnah ini, dan boleh mengganggu perbicaraan kes saman yang sedang
berjalan.
Bagaimanapun Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim akan menetapkan tarikh lain untuk mendengar dan memutuskan isu berkenaan.
Sementara itu, melalui kenyataan saksi dalam perbicaraan kes itu,
Mukhriz berkata, penerbitan kenyataan media oleh Setiausaha Akhbar
kepada Perdana Menteri Datuk Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad memberi
kesan yang negatif dan prejudis terhadap dirinya.
Mukhriz berkata, beliau sebagai Timbalan Presiden Bersatu, telah dimalukan dengan teruk oleh defendan secara bertubi-tubi.
“Reputasi saya tercalar dengan amat teruk sekali, masyarakat memandang
serong dan kini memberi persepsi bahawa saya seorang yang gila kuasa,
sanggup melakukan kempen jahat untuk menjadi perdana menteri,”katanya.
Mukhriz berkata, beliau juga dilihat sebagai seorang ahli politik yang
tidak berkaliber, hanya menumpang populariti bapanya dan bergantung
sepenuhnya kepada telunjuk bapanya, Mahathir.
Mukhriz berkata, kenyataan-kenyataan itu dibuat secara bertubi-tubi
tanpa cuba mendapat pengesahan darinya, serta berlanjutan lagi walaupun
selepas notis dan amaran diberikan.
Tambahan pula, apabila kenyataan-kenyataan ini dikeluarkan oleh
defendan sebagai Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, yang sepatutnya
mengeluarkan kenyataan yang betul dan bernas.
“Defendan membuat kenyataan fitnah dan palsu itu kerana saya
mempersoalkan isu skandal 1MDB sejak memegang jawatan menteri besar
hingga kini,” katanya.
Mukhriz memfailkan saman itu pada 3 Mei 2016 kerana mendakwa bahawa
Tengku Sarifuddin telah mengeluarkan empat kenyataan yang berbaur fitnah
terhadap beliau dan disiarkan dalam media arus perdana dan media
sosial.
Mukhriz mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud Mahathir dan
Muhyiddin berkomplot dalam kempen jahat bagi menjatuhkan kerajaan yang
dipilih secara sah dan plaintif masih terbabit secara langsung dalam
komplot antara Mahathir dan Muhyiddin.
Perbicaraan akan disambung hari ini di mana Mahathir akan hadir memberi keterangan.
0 orang berkata:
Post a Comment