Sebat di khalayak hanya untuk orang Islam Kelantan
KUCHING - Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah
2002 (Pindaan 2017) yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan
semalam perlu dilihat dalam konteks hanya untuk orang Islam di negeri
itu sahaja, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan perdana menteri berkata, pindaan itu hanya memberikan
implikasi kepada orang Islam sahaja dan tidak melibatkan orang bukan
Islam di Kelantan.
"Saya belum mendapat maklumat terperinci mengenai butirannya namun saya fikir apa yang dilakukan oleh mereka itu harus dilihat dalam konteks hanya untuk orang Islam di Kelantan sahaja," katanya
[ARTIKEL BERKAITAN: Kelantan lulus RUU sebat di khalayak]
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas
pindaan tersebut antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di
khalayak ramai, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, hari
ini sebelum berlepas pulang ke ibu negara selepas menamatkan lawatan
kerja dua hari di Sarawak.
Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menghadiri Majlis
Ramah Tamah Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri di Sri Aman.
Mengulas lanjut, timbalan perdana menteri berkata kerajaan negeri
Kelantan berhak untuk mengemukakan pindaan rang undang-undang itu di Dun
kerana mereka mempunyai suara majoriti.
"Bagaimanapun biarpun pindaan tersebut sudah diluluskan ia masih
tertakluk kepada perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan untuk
pelaksanaan," katanya.
RUU itu juga memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama
menggunakan gari ke atas suspek selain membenarkan video digunakan
sebagai bahan bukti dalam perbicaraan,
Pindaan itu dicadangkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam,
Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin
Daud dan diluluskan sebulat suara. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment