Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified


Perkasa, Pemuda Umno bakal meriahkan ibu kota
  
Posted on Monday, June 27 @ 18:55:40 PDT by paktam

Oleh Zulkifli Yahaya

TIDAK timbul langsung Himpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan 9 Julai bertujuan menjatuhkan kerajaan melalui revolusi ala Mesir atau negara-negara Arab lain. Ia hanya tuntutan lapan perkara rakyat Malaysia untuk memulihkan amalan demokrasi pincang di negara ini.


Namun, biasalah BN yang sedang nazak dengan serangan penyakit tua menghadapi Bersih 2.0 dengan penuh ketakutan dan kegelabahan yang sukar disembunyikan lagi. Demonstrasi jalanan adalah isu yang berkaitan dengan kejatuhan kuasa pihak yang sedang memerintah. Justeru, himpunan Bersih 2.0 menjadi sebuah mimpi ngeri kepada parti yang memerintah.
 
Ulasan oleh para pemimpin BN dan juhalak pengampu mereka datang dalam pelbagai versi. Antara dakwaannya ialah himpunan tersebut adalah strategi DAP untuk memecahbelahkan orang Melayu. Supaya kelihatan benar dakwaan itu, maka Perkasa akan turut turun berhimpun pada 9 Julai nanti.

Perkasa yang lahirnya untuk memperjuangkan nasib orang Melayu tiba-tiba muncul menjadi lembu tunggangan Umno pula, mempertahankan demokrasi yang tidak adil.

Kononnya juga himpunan Bersih 2.0 dirancang oleh golongan anti-Islam. Pengerusi Bersih, Dato’ Ambiga yang bukan penganut Islam itu adalah peguam Lina Joy yang mohon keluar daripada Islam, maka secara automatik Bersih adalah anti-Islam. Malang sungguh nasib semua peguam-peguam di dunia ini kerana mereka membela perogol, penyamun, perasuah, pengedar dadah dan pembunuh, justeru mereka juga adalah daripada golongan tersebut. Jika peguam itu membela perogol maka bukan setakat peguam itu mesti dicop perogol, siapa yang berkawan dengannya juga adalah perogol.

Jadi orang Melayu semua kena ingat, jangan suruh anak-anak belajar sehingga pandai jadi peguam. Biar semua orang Melayu tidak berpelajaran agar mudah diperkudakan pemikiran oleh Umno.

Tuduhan yang lain ialah kononnya Pakatan Rakyat sudah hilang sokongan, jadi perlu lakukan gimik untuk tarik semula sokongan rakyat. Atau Pakatan yakin akan kalah dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13, jadi kena adakan himpunan untuk tonjolkan sebab-sebab mengapa mereka kalah PRU 13 nanti.

Sebab yang paling popular antara semua itu tentulah kerana kononnya Dato’ Seri Anwar mahu mengalihkan isu liwat dan video seks yang dikaitkan dengannya. Sebenarnya bukan sahaja himpunan Bersih, apa sahaja isu yang dimainkan Anwar adalah untuk ‘mengalih’ isu liwat yang dihadapinya.

Isu kerajaan 16 September, debat harga minyak, Buku Jingga, penggantungan di Parlimen, himpunan bantah ISA, isu Altantuya, Scorpene, Teoh Beng Huat dan segalanya; semuanya bertujuan ‘mengalih’ isu liwat atau apa-apa isu peribadi yang dikaitkan dengan Anwar. Hebat sungguh beliau mengalih isu.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu yang kini menjadi pecacai sepenuh masa lagi kreatif melempar tuduhan. Kononnya tarikh 9 Julai sengaja dipilih berdekatan dengan tarikh perbicaraan Anwar untuk membela diri kes liwat, walhal sewaktu tarikh 9 Julai diputuskan oleh penganjur Bersih 2.0, hakim pun belum memutuskan sama ada Anwar perlu membela diri atau tidak. Hebatnya Anwar mengalahkan Nujum Pak Belalang kerana dia boleh tahu tarikh akan dipanggil membela diri, sewaktu perbicaraan menentukan sama wujud kes prima facie belum pun berakhir.

Tuduhan yang lain pula ialah kononnya himpunan tersebut adalah strategi Mohamad Sabu untuk menonjolkan dirinya sebagai Timbalan Presiden yang mendapat undi tidak sampai 50 peratus daripada perwakilan. Sama macam Anwar, Mat Sabu pun dikira kasyaf juga kerana tahu akan menang jawatan Timbalan Presiden sewaktu pihak penganjur mencari-cari tarikh yang sesuai himpunan Bersih 2.0 diadakan.

Nampaknya bermacam-macam alasan dan tuduhan yang diciptakan oleh BN serta semua media talibarut mereka bagi mengotorkan wajah Bersih 2.0 yang bakal diadakan. Terpulanglah kepada rakyat untuk mempercayai yang mana satu tapi hakikatnya tuduhan yang bercelaru datangnya daripada pemikiran yang bercelaru dan menggelabah.

Kegelabahan dapat dilihat melalui usaha berterusan BN melalui pelbagai pihak supaya himpunan yang dirancang itu digagalkan. Beratus-ratus NGO pro BN dikerahkan supaya mengadakan bantahan dan laporan polis. Ia sebagai tindakan perang saraf untuk menakut-nakutkan rakyat daripada menyertai himpunan tersebut.

Malangnya mereka tidak dapat membaca psikologi ahli-ahli dan penyokong Pakatan terutamanya PAS dalam isu himpunan Bersih. Antara faktor kejayaan Bersih pada 2007 ialah apabila Perdana Menteri pada waktu itu memberi amaran akan bertindak tegas kepada peserta himpunan. Bagi PAS, cabaran daripada Umno adalah pembakar semangat.

Untuk kali ini, cabaran tidak datang hanya daripada seorang Perdana Menteri tetapi daripada Perkasa dan Pemuda Umno yang akan turut serta himpunan di pihak yang bertentangan. Ahli PAS yang mulanya malas hendak ke Kuala Lumpur 9 Julai nanti pun akan teruja dengan cabaran itu.

Orang PAS yang menyertai Himpunan GMI untuk membantah ISA masih tidak melupakan peristiwa kerakusan polis menembak gas pemedih mata dan menyembur air kimia dari meriam air. Peliknya orang PAS ialah dia boleh bercerita sampai berminggu-minggu dengan bangga ditembak gas atau diangkut ke balai polis. Orang yang mendengar pun akan teruja juga.

Tidak syak lagi publisiti serta ‘cabaran’ berlebihan melalui media-media talibarut BN hanya akan menyemarakkan lagi semangat rakyat Malaysia, khususnya ahli-ahli PAS untuk hadir dalam himpunan tersebut.

Penyertaan Perkasa dan Pemuda Umno nanti tidak sewajarnya dihalang kerana mereka pun ada hak juga untuk berhimpun dan bersuara secara aman. Mereka turun dengan imej BN, maka ia akan memberi dua kelebihan kepada pihak Bersih. Pertama, cakap BN tidak serupa bikin. Mereka membuat laporan polis seluruh negara membantah himpunan Bersih tetapi mereka juga turun berhimpun pada hari yang sama. Mereka mudah dituding sebagai hipokrit.

Keduanya, seperti dijangkakan selepas himpunan Bersih 2.0 seluruh media utama negara akan memanipulasi isu kononnya sebahagian rakyat ibu kota marah kepada penganjur mengganggu pergerakan mereka di jalan raya serta mengacau mereka berniaga.

Nanti, sasaran kemarahan itu tidak hanya bertumpu kepada peserta himpunan Bersih sahaja tetapi juga dikongsi oleh Perkasa dan Pemuda Umno. Maklumlah semuanya sama-sama berhimpun, takkan hanya satu pihak disalahkan.

0 orang berkata:

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.