Mandela makin kritikal
 
Puluhan orang awam berkumpul di hospital Pretoria bagi mengikuti perkembangan Mandela.
JOHANNESBURG -  Keadaan Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela terus merosot dan kini hanya terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan kerana tidak dapat bernafas secara sendiri di Hospital Pretoria.

Jurucakap presiden Afsel, Mac Maharaj berkata, sejak 48 jam lalu keadaan Mandela semakin kritikal.


“Kumpulan perubatan tidak lagi mampu melakukan rawatan. Usaha terakhir mereka hanya memberikan alat sokongan bantuan pernafasan,” katanya dipetik Reuters


Seorang ketua keluarga Mandela yang sering mengetuai mesyuarat keluarga, Napilisi Mandela berkata, mereka diberi pilihan untuk meneruskan penggunaan alat itu atau menghentikannya.


“Beliau kini menggunakan mesin untuk bernafas. Keadaannya semakin teruk, tetapi apa yang kami boleh buat,” katanya.


Anak perempuannya Zindzi Mandela pula berkata, kelmarin, bapanya masih mampu tersenyum selepas diberitahu Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama akan melawat Afrika Selatan.


“Dia membuka mata dan memberikan senyuman,” katanya.


Sementara itu, Menteri Sumber Asli Australia, Gary Gray memohon maaf kepada Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan selepas tindaknya mengumumkan bahawa Mandela meninggal dunia.


“Saya memohon maaf atas ketelanjuran kata-kata itu ketika menghadiri satu majlis makan malam di Parlimen. Saya berharap, Mandela mampu bertahan kerana beliau seorang pemimpin disayangi dunia,” katanya.