FINAL FA 2013
PENJAGA gol utama Kelantan,  Khairul Fahmi Che Mat berikrar untuk memastikan gawang pasukan itu tidak dibolosi skuad Harimau Selatan pada perlawanan final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

“Saya tahu pertemuan menentang Johor Darul Takzim (JDT) sememangnya menjanjikan aksi sengit bagi kedua-dua pasukan dan saya  sudah bersedia 100 peratus untuk memastikan pintu gol Kelantan tidak dibolosi malam esok (ini).

“Namun semua itu tidak dapat dilakukan sekiranya tanpa bantuan daripada rakan sepasukan yang lain. Jadi saya  berharap rakan sepasukan terutamanya di benteng pertahanan bekerja keras mengekang asakan pemain JDT,” katanya ketika ditemui di Auditorium Kumpulan Media Karangkaf, semalam.

Pada masa sama, Khairul Fahmi atau Apek turut menganggap pasukan yang paling kurang melakukan kesilapan  mampu menjulang Piala FA musim ini.

"Dalam mana-mana perlawanan bola sepak, kesilapan akan berlaku tetapi kita akan berusaha untuk kurangkan  kesilapan kerana kesilapan itu adalah faktor utama menyebabkan strategi tiba-tiba boleh jadi kucar-kacir,” ujarnya yang akan mempamerkan aksi terbaik.

Sementara itu penyerang Kelantan, Indra Putra Mahayuddin pula berharap perlawanan malam ini akan menjadi satu lagi sejarah buat pasukan Kelantan setelah memenanginya musim lalu.

Sehubungan itu katanya, turun selaku pemain yang penuh dengan pengalaman, beliau akan berusaha sedaya upaya membantu Kelantan mempertahankan kejuaraan Piala FA musim ini.

"Saya berjanji akan mempamerkan aksi terbaik malah mahu menjaringkan gol untuk Kelantan dalam perlawanan akhir ini. "Saya percaya ini merupakan satu pertemuan sengit dan ditunggu-tunggu semua pihak memandangkan JDT turut dibarisi ramai pemain bertaraf bintang," katanya.

Mengulas peluang pasukannya pada perlawanan itu, Indra memberitahu, dia yakin Kelantan mampu  mempertahankan kejuaraan tersebut berdasarkan reputasi semasa pasukannya.

Seorang lagi penyerang Kelantan, Ahmad Fakri Saarani nyata tidak sabar untuk beraksi bagi membantu Kelantan  membawa balik Piala FA ke bumi Cik Siti Wan Kembang musim ini.

“Saya teruja dengan perlawanan final dan tidak sabar untuk membantu Kelantan menjulang Piala FA kali ini.

"Saya akan melakukan yang terbaik sekiranya diberi peluang oleh jurulatih dan paling utama kerjasama semua pemain untuk meraih kemenangan,” jelas beliau.