Nwakaeme  
Nwakaeme (kanan) serius mendengar arahan Ketua Jurulatih, Bojan Hodak pada sesi latihan terakhir Kelantan sebagai persediaan bertemu Johor DT di Bukit Jalil, malam esok
 
MASANYA sudah tiba bagi penyerang import sensasi Kelantan, Dickson Nwakaeme untuk mempamerkan kejantanan sebenarnya pada pertemuan menentang Johor Darul Takzim (Johor DT), perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Jika sebelum ini sering dibelenggu kecederaan, namun pada sesi latihan terakhir The Red Warriors di Kota Bharu, petang semalam Nwakaeme memberi isyarat betapa beliau kini hampir pulih sepenuhnya dan mahu menggegarkan gawang JDT pada pertemuan itu.


“Semua pemain mahu beraksi dalam perlawanan akhir, begitu juga saya. Secara peribadi, ia (dapat bermain) merupakan satu penghargaan tertinggi dan semangat saya begitu membara mahu membantu Kelantan mempertahankan kejuaraan.


“Kecederaan ini bukan masalah besar dan saya bersedia untuk diturunkan malam esok. Lebih manis sekiranya saya dapat menjaringkan gol namun itu boleh dilakukan jika mendapat sokongan daripada rakan sepasukan,” katanya.


Malah, Nwakaeme turut memberi amaran akan tampil dengan perwatakan lebih garang bagi menembusi benteng pertahanan Johor DT yang pasti cukup perit untuk mengekang kelincahan pemain Nigeria itu setelah kehilangan tonggak utama mereka, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak.


“Saya tahu Johor DT pasukan hebat dan dibarisi ramai bertaraf bintang tetapi mereka akan berdepan situasi sukar bertemu Kelantan. Dahulu mereka menewaskan kita 2-0 (Liga Super) kerana saya tidak bermain, tetapi jangan harap boleh menang malam esok,” katanya


Dalam pada itu, Nwakaeme yang pernah beraksi dengan Song Lam Nghe An FC dalam Liga Vitenam pada musim lalu mengingatkan rakan sepasukannya tidak meletakkan kepentingan peribadi, sebaliknya menampilkan semangat berpasukan jika mahu terus mengekalkan kejuaraan.


“Ramai orang anggap saya wira kerana membawa Kelantan mara ke final. Tetapi saya tidak berfikiran begitu, kemenangan pasukan jadi keutamaan, tidak kira siapa pun jaringkan gol.


“Bola sepak adalah sukan yang bergantung pada bagaimana anda beraksi secara berpasukan. Jika kita berjuang untuk menang, saya percaya kami ada peluang untuk mempertahankan kejuaraan,” katanya.