Bapa Saiful rayu A-G kemuka rayuan kes anak
January 11, 2012
PETALING JAYA, 11 Jan — Azlan Mohd Lazim, bapa kepada Mohd Saiful Bukhari hari ini merayu kepada Peguam Negara agar memfailkan rayuan untuk mendapatkan pembelaan adil anaknya, menegaskan jangan terpengaruh oleh mana-mana pihak termasuk Majlis Peguam.
Pada sidang media di kediamannya di Bandar Utama di sini, Azlan, 58, turut melahirkan kekecewaan dengan kenyataan Majlis Peguam agar Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat.
"Saya Azlan Mohd Lazim, bapa kepada Mohd Saiful Bukhari berasa amat kecewa dengan kenyataan Majlis Peguam yang menyarankan pihak Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan keputusan kes anak saya yang diputuskan oleh mahkamah pada 9 Januari 2011.
"Pada pandangan saya, tindakan Majlis Peguam itu adalah dilihat sebagai langkah untuk menidakkan hak seseorang warganegara untuk diadili dan didengar rayuannya sehingga ke peringkat tertinggi menurut Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada pemberita.
Pada Isnin lalu Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan Anwar Ketua Umum PKR dan Ahli Parlimen Permatang Pauh dari tuduhan meliwat Mohd Saiful tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Diah membuat keputusan itu dengan alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan mangsa selain pihak pendakwaan gagal membuktikan Anwar melakukan perbuatan itu.
Anwar, 64, dituduh meliwat Mohd Saiful di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini, antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Selepas keputusan mahkamah itu Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee meminta Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan itu.
Lim berkata keputusan dibuat Mahkamah Tinggi itu dibuat dengan adil dan mengikut lunas-lunas keadilan.
Mohd Saiful pada Isnin lalu berharap pihak pendakwa dapat mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan untuk mendapat pembelaan adil untuk dirinya.
Dalam tulisan terbaru di blognya, Mohd Saiful, 26, bekas pembantu peribadi dan pengadu kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau mempunyai hak untuk mendapat pembelaan yang adil hingga ke peringkat tertinggi badan kehakiman.
"Majlis Peguam seharusnya bersikap neutral dalam melihat proses keadilan berlangsung dan bukannya dengan menghalang proses keadilan berlangsung.
"Ini baru pertama kali pihak kami memohon untuk membuat rayuan sudah mahu dihalang. Mengapa ada 'double standard'? Adakah kerana anak saya hanya seorang insan kerdil bukan VIP, ahli politik, hak beliau dinafikan dengan begitu sahaja?," kata Lazim.
Beliau menambah sekiranya tiada sebarang perkembangan daripada Peguam Negara dalam tempoh 14 hari, pihaknya akan mengambil tindakan selanjutnya demi membela maruah keluarga dan Mohd Saiful.
"Demi anak saya, saya merayu agar pihak Peguam Negara memfailkan rayuan. Di harap pihak Peguam Negara tidak terpengaruh dengan desakan Majlis Peguam atau mana-mana pihak agar tidak mengemukakan rayuan.
"Sebagai bapa saya akan terus bersama anak saya dan berjuang untuk memastikan aduan anak saya ini mendapat pengadilan seadil-adilnya bagi mengembalikan nama, maruah dan seluruh keluarga saya," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment