Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

KALO JUMPA AHMAD MASLAN OK JUGA ?

Muhyiddin: 2016 menanti dengan cabaran lebih getir
Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin. - Foto Sinar Harian
 
SHAH ALAM - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan 2015 sebagai tahun yang mencabar dengan pelbagai ranjau yang terpaksa dilalui oleh rakyat termasuklah isu berkaitan kos sara hidup.

Menerusi perutusan tahun baharunya, Muhyiddin bagaimanapun menambah, 2016 pula dijangka tahun yang lebih getir buat Malaysia dengan keadaan iklim ekonomi yang tidak menentu dan sumber kewangan kerajaan yang semakin merosot.

Berikut adalah petikan perutusan Tahun Baharu Muhyiddin:-

Sempena sambutan tahun baharu 2016, marilah kita mengimbau sejenak beberapa peristiwa penting yang kita lalui sepanjang tahun 2015. Bagi saya, tahun 2015 bermula dengan cabaran yang agak getir.

Menangani tekanan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat dan bermulanya pelaksanaan GST adalah antara perkara utama yang menjadi perhatian rakyat.

Tidak dinafikan pemberian BR1M dapat mengurangkan sedikit sebanyak bebanan kewangan bagi keluarga berpendapatan rendah. Namun demikian, dengan kenaikan harga barangan keperluan yang meningkat secara mendadak, kenaikan kadar tol, tambang pengangkutan awam dan penghapusan sebahagian subsidi kerajaan menyebabkan beban sara hidup yang ditanggung oleh rakyat semakin meningkat.

Sehingga penghujung tahun 2015, isu kos sara hidup masih menghantui rakyat, terutamanya bagi mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Rata-rata rakyat ingin melihat kerajaan melakukan sesuatu yang lebih bermakna dan berkesan untuk meringankan beban rakyat yang kian terhimpit dengan masalah ekonomi.

Tahun 2015 juga merupakan tahun yang malap bagi Malaysia dari segi integriti dan ketelusan tadbirurus negara.

Skandal 1MDB, misteri derma politik RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri, pemecatan Peguam Negara, pelantikan beberapa ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang sedang mendengar kes 1MDB sebagai anggota pentadbiran, pertukaran serta merta beberapa pegawai kanan SPRM yang terlibat dalam siasatan skandal 1MDB, menimbulkan banyak persoalan dan keraguan mengenai ketelusan dan integriti dalam tadbir urus negara.

Sehingga kini penjelasan kerajaan mengenai skandal 1MDB masih gagal meyakinkan rakyat. Mereka ingin melihat pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kehilangan wang dan harta negara dalam nilai yang besar dibawa ke muka pengadilan. Nampaknya, tirai 2015 dilabuh dengan krisis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan masih belum pulih.

Tahun 2016 pastinya menanti kita dengan cabaran yang lebih getir. Iklim ekonomi dunia masih tidak menentu. Harga minyak dunia dijangka jatuh ke paras yang lebih rendah dan Malaysia sebagai sebuah negara yang sebahagian hasilnya bergantung kepada sumber minyak akan terjejas.

Sumber kewangan kerajaan semakin merosot dan kemampuan kerajaan untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat semakin terhad.

Selain itu, kesan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) ke atas ekonomi negara dan kebajikan rakyat juga masih belum menentu.

Dalam keadaan yang semakin sukar ini, isu integriti dan akauntabiliti pemimpin kerajaan dalam mentadbir negara menjadi semakin penting. Sementara rakyat diminta supaya berjimat cermat dan bekerja lebih masa untuk menambah pendapatan, pemimpin kerajaan juga bertanggungjawab untuk mencegah ketirisan, pembaziran dan pemborosan dalam perbelanjaan kerajaan.

Pastikan setiap sen wang yang dibelanjakan oleh kerajaan sampai kepada rakyat. Setiap sen cukai yang dikutip daripada rakyat mesti dikembalikan semula kepada rakyat melalui peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan awam, kemudahan awam, pendidikan, pengangkutan, kesihatan dan program-program kebajikan yang benar-benar memanfaatkan golongan sasar.

Malang sekali sekiranya dalam keadaan rakyat sedang menanggung beban kos sara hidup yang kian meningkat, peruntukan kewangan kepada kementerian-kementerian dikurangkan dan sebahagian subsidi kerajaan dihapuskan untuk mengurangkan tanggungan kewangan kerajaan, masih berlaku ketirisan, pembaziran dan pemborosan dalam pengagihan kontrak dan konsesi kerajaan yang hanya menguntungkan sekalangan kecil individu.

Selain itu, sempena sambutan tahun baharu 2016 marilah kita perkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Jangan kita biarkan pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mengapi-apikan sentimen kaum dan agama semata-mata untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu tadbirurus negara yg semakin meruncing.

Ingatlah, mengekalkan perpaduan kaum, mewujudkan keharmonian agama dan memelihara keamanan negara adalah tanggungjawab kita bersama.

Umat Islam yang merupakan majoriti rakyat negara ini bertanggungjawab untuk memastikan ajaran Islam yang sebenar yang mementingkan nilai-nilai amanah, kejujuran, kebenaran dan keadilan tertegak di dalam pemerintahan dan kehidupan seharian. Kerjasama dan perpaduan dalam kalangan umat Islam perlu dibina di atas prinsip dan nilai murni ini, bukan atas asas yang lain.

Saya percaya perpaduan dalam kalangan umat Islam yang bertunjangkan prinsip dan nilai murni ini akan menjadikan umat Islam sebagai umat yang lebih bermaruah, lebih dihormati oleh masyarakat bukan Islam dan beroleh keredhaan ALLAH SWT.

Nilai keadilan dan kejujuran yang diamalkan oleh umat Islam juga akan mewujudkan keharmonian dalam hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita.

Saya mendoakan semoga kita sentiasa cekal dan bersedia utk menghadapi cabaran getir yang menanti kita di hadapan. Insya-ALLAH, berkat kesabaran dan kecekalan kita semua sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air, setiap cabaran yang mendatang pasti dapat kita hadapi dengan jayanya. Mudah-mudahan tahun 2016 menjanjikan sinar bahagia buat kita semua.

Selamat menyambut tahun baharu 2016!

JIKA IKUT HUKUM HUDUD JADI MACAM MANA KES NI ?

Kisah Zulkifli: Jangan langkaui sistem kehakiman
Kisah Zulkifli bunuh perompak jadi viral
 
SHAH ALAM - Masyarakat tidak boleh melangkaui sistem kehakiman dan terus membuat keputusan dalam kes seorang lelaki dikenali sebagai Zulkifli yang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh perompak di rumahnya untuk mempertahankan diri. 
 
Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, apa yang dilalui Zulkifli merupakan proses biasa atas kesalahan dilakukan.

“Zulkifli perlu menjalani proses tahanan reman, pendakwaan dan perbicaraan sehingga hakim yang membicarakan kes itu membuat keputusan sama ada dia bersalah atau tidak. Membunuh tetap merupakan satu jenayah maka Zulkifli mesti menghadap hakim dan melalui proses bicara.

"Cuma kerana beliau mempertahankan diri dan keluarga maka mudah bagi peguam mewakilinya menimbulkan keraguan munasabah atas kes pendakwaan dan seterusnya membebaskan Zulkifli,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kisah Zulkifli bunuh perompak jadi viral]

Kisah Zulkifli menjadi viral di laman sosial dan masyarakat yang bersimpati dengan nasib bapa malang itu menuntut agar nasibnya dibela.

Ramai yang mempertikaikan penahanan itu susulan Zulkifli didakwa mempertahankan keselamatan keluarganya daripada perompak yang menceroboh ke rumahnya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul Azam berkata, mempertahankan diri merupakan satu pembelaan bermerit yang dibenarkan di dalam Kanun Keseksaan walaupun menyebabkan kematian orang lain.

“Tetapi ada cara untuk membuktikan sama ada mempertahankan diri itu wajar atau tidak. Ada keperluan undang-undangnya.

“Bukan semudah alasan ‘ini rumah saya dan saya boleh buat apa yang saya suka’,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menghentikan viral yang tidak benar, sebaliknya perlu membantu keluarga Zulkifli.

“Disebabkan kes dihadapi Zulkifli adalah pertuduhan bunuh, peguam mewakilinya merupakan lantikan mahkamah. Jadi kita tidak perlu kumpul duit upah peguam kerana kerajaan menyediakan peguam percuma jika tertuduh berdepan kes melibatkan hukuman gantung.

“Lebih baik masyarakat kutip derma untuk ringankan beban keluarganya sementara Zulkifli melalui proses mahkamah. Bagi kes Zulkifli, serahkan kepada mahkamah untuk buat keputusan,” katanya.

JANGAN MEMBUNUH PENJENAYAH SEWENANG-WENANGNYA


Had pertahan diri bukan sampai membunuh
Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar
 
KUALA LUMPUR - Hak dan had orang awam mempertahankan diri ketika berdepan dengan kes jenayah, bukan sesuatu yang mutlak sehingga ke tahap membunuh penjenayah sewenang-wenangnya, tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. 
 
Beliau berkata orang ramai perlu memahami hak dan had itu seperti termaktub dalam undang-undang yang diperuntukkan mengikut Seksyen 99 Kanun Keseksaan.

"Seksyen berkenaan menjelaskan hak dan had mempertahankan diri yang termaktub, bukan sahaja untuk orang awam malah juga anggota polis sendiri.

"Saya lihat ramai orang tidak tahu had dan hak mempertahankan diri itu, maka Seksyen 99 Kanun Keseksaan menjelaskan dengan jelas setakat mana tahap mempertahankan diri yang boleh digunakan oleh mereka (orang ramai)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir majlis serah terima tugas jawatan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, di sini hari ini.

"Kami polis pun ada hadnya. Hak mempertahankan diri itu bukan mutlak. Jika ada orang nak curi atau samun, kita tidak boleh bunuh mereka sewenang-wenangnya," katanya.

Khalid mengulas isu Zulkifli Ismail, 50, dari Terengganu, yang ditahan reman berhubung dakwaan membunuh perompak yang cuba masuk ke rumahnya.


Isu itu diviralkan menerusi laman sosial Facebook Parti Sosialis Malaysia dengan menggunakan tajuk "Selamatkan Zulkifli"  dan satu gerakan atas talian untuk menyelamatkan lelaki itu yang berdepan hukuman mati makin mendapat perhatian ramai.

Dalam satu kenyataan mengulas lanjut perkara itu, Khalid berkata Seksyen 99 (4) akta sama pula menjelaskan yang hak pertahanan persendirian tidak sekali-kali termasuk menggunakan kerosakan yang lebih daripada yang perlu dikenakan bagi maksud pertahanan.

Khalid berkata pihaknya telah menjalankan siasatan dengan penuh profesional berhubung kes Zulkifli dan dua lagi kes yang hampir sama, iaitu mempertahankan diri, yang diviralkan di laman sosial.

"Tiga tertuduh dalam kes berkenaan telah dihadapkan ke muka pengadilan sebagaimana arahan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Peguam Negara," katanya.

Oleh itu, beliau berkata orang ramai dinasihat berhenti menyebarkan dakwaan berhubung kes tersebut tanpa meneliti dan memahami fakta kes sebenar lebih-lebih lagi tanpa mengetahui implikasi perundangan. - Bernama

MINYAK TURUN BARANG NAIK


RON95 turun 10 sen, RON97 turun 20 sen
minyak
SHAH ALAM - Harga runcit petrol RON95, turun 10 sen seliter bagi Januari 2016 berkuat kuasa tengah malam ini.

Petrol RON 95 dijual dengan harga baru pada RM1.85 seliter, manakala RON97 pula turun 20 sen menjadi RM2.25

Harga diesel pula turun 30 sen kepada RM1.60 daripada RM1.90.

Pengurangan itu berikutan harga minyak mentah di pasaran dunia yang terus menjunam.

JAGA AKIDAH ANAK-ANAK

Kes Penukaran Agama : Hormati Kuasa Mahkamah Syariah

Kenyataan Media Penerangan. 53
Rabu, 30 Disember 2015 | 18 Rabi'ul Awwal 1437H
KES PENUKARAN AGAMA : HORMATI KUASA MAHKAMAH SYARIAH
Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS dengan rasa kesyukuran menyambut gembira keputusan Mahkamah Rayuan yang telah mengesahkan penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mereka, Muhd Riduan Abdullah, yang sebelum ini sijil penukaran agama mereka telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh.

Apa juga keputusan mana-mana mahkamah, pujian amat patut diberikan kepada Sdr. Muhd Riduan Abdullah di atas kesungguhan memelihara aqidah anak-anaknya. Semoga beliau dan anak-anak beliau terus istiqamah bersama Islam.

PAS juga ingin menyampaikan penghargaan di atas penghormatan dan penegasan yang diberikan oleh panel tiga hakim terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah. Diharapkan, keputusan bagi kes ini menjadi rujukan penting bagi mengelakkan timbul lagi pertikaian terhadap status agama seseorang samada melibatkan orang dewasa atau kanak-kanak.

Sebaiknya, peluang daripada kes ini juga dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan untuk memperkasakan institusi Mahkamah Syariah di negara ini sekaligus menjadi ruang bagi meminda Akta 355 seperti yang dituntut oleh PAS.

Semoga Islam dan seluruh syariatnya dapat dilaksanakan dan semakin teguh di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Sekian.

HASIL DARI TENTANG SYARI'AT TUHAN, TANGGUNG LE !

 ADA BERKAIT DENGAN BISNES POLITIK KOT ? Pak Karamu
 
 
SPRM cari dalang rumah urut
0
SIMI ABDUL GHANI
Simi Abdul Ghani
 
SELAIN politik, isu pembukaan banyak pusat hiburan, rumah urut dan judi di Selangor turut mendapat perhatian banyak pihak. 
 
Selain penguatkuasaan daripada Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Selangor juga dikatakan sedang memberi tumpuan serius dalam hal ini. Mengapa dan siapakah yang terlibat?

Ikuti tembual Editor Tugas-Tugas Khas Sinar Harian, LAILATUN KHALILAH NASIR bersama Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, DATUK SIMI ABDUL GHANI yang menjawab isu ini dan pelbagai isu lain.

Selangor maju dari sudut pelaburan, pembangunan perniagaan serta infrastruktur. Kecenderungan penyalahgunaan kuasa dan rasuah sangat tinggi. Kesalahan jenis apakah yang paling banyak dilakukan di negeri ini dan ia melibatkan sektor apa?

Kesalahan yang paling cenderung dilakukan adalah kesalahan meminta dan menerima rasuah di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan cubaan merasuah penjawat awam di bawah Seksyen 17(b) Akta yang sama. Sebanyak 130 kes dilaporkan sepanjang tahun 2010 hingga 2015 melibatkan sektor awam.

Benarkah wujudnya rasuah di kalangan pihak-pihak yang memegang kuasa untuk membenarkan kewujudan pusat hiburan, rumah urut dan perjudian yang ada di negeri ini? Jika ada apakah kejayaan SPRM setakat ini dan apa yang dilakukan untuk menangani hal berkenaan?

Memang ada dakwaan dan tanggapan wujud pihak-pihak tertentu yang membenarkan atau memainkan peranan membenarkan kewujudan pusat hiburan, rumah urut dan perjudian secara haram di Selangor.

Justeru, SPRM Selangor dan Ibu Pejabat SPRM sedang memberi tumpuan dalam isu ini. Untuk rekod, SPRM telah mengambil tindakan bersepadu iaitu dengan menahan kakitangan agensi penguatkuasa yang bersubahat termasuk polis dan pihak berkuasa tempatan yang bersubahat dalam isu ini pada September lalu.

Jika ada maklumat kukuh, SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya bagi membanteras jenayah rasuah. Perkara ini antara fokus SPRM.

Apa yang penting, orang ramai perlu faham bahawa SPRM hanya boleh menyiasat kes-kes yang ada elemen rasuah. Aspek lain terletak di bawah bidang kuasa agensi-agensi lain yang relevan.

Adakah kaedah-kaedah atau strategi baru bagi pengamal rasuah yang berjaya dikesan oleh pihak SPRM setakat ini bagi negeri ini?

Di bawah Program Transformasi, SPRM mengambil pendekatan terkini untuk mengenal pasti kaedah-kaedah atau strategi baharu yang digunakan oleh pelaku rasuah.

Ini termasuklah kaedah siasatan melalui ‘Managing TeamBased Investigation’, perakaunan forensik dan teknik perisikan. Bagaimanapun, SPRM tidak dapat mendedahkan strategi dan kaedah baharu ini kepada umum.

Di Selangor isu rasuah membabitkan apa yang paling mencabar pihak Datuk untuk diselesaikan?

Kes-kes rasuah yang berbentuk ‘sindiket’ kerana kesukaran untuk menembusi ‘sindiket-sindiket’ berkenaan. Bagaimanapun, dengan menggunakan kaedah dan teknik tertentu penyiasatan dan perisikan, kesukaran ini berjaya diatasi dan telah membuahkan hasil.

Dalam tahun 2015, SPRM Selangor telah berjaya menangkap dan menuduh lima individu melakukan perbuatan rasuah secara ‘sindiket’.

Boleh Datuk  jelaskan statistik tangkapan pelaku-pelaku rasuah di Selangor?

SPRM Selangor telah menerima 320 maklumat daripada pelbagai sumber dan orang ramai sepanjang tahun 2015.

Daripada jumlah tersebut, 149 maklumat berunsur rasuah dan dijalankan siasatan manakala selebihnya dirujuk kepada jabatan dan sebagainya kerana tidak berunsur rasuah. Kita menangkap 61 individu yang terlibat rasuah dalam tahun 2015.

Tangkapan tersebut merupakan peningkatan berbanding tahun 2014 sebanyak 39 individu yang telah ditahan. Bagaimanapun, peningkatan tangkapan ini tidak melambangkan banyak kes rasuah di negeri ini.

Sebaliknya ia menunjukkan peningkatan sokongan masyarakat tempatan untuk menyalurkan maklumat berkaitan rasuah kepada SPRM Selangor.

Daripada jumlah 61 tangkapan tersebut, 17 orang daripadanya adalah penjawat awam, 14 orang swasta dan 30 orang awam serta melibatkan nilai wang berjumlah hampir RM310,000.

Sepanjang 2015 juga, seramai 27 orang telah dituduh di mahkamah membabitkan 17 penjawat awam di mana seorang pegawai gred Jusa, empat pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, 12 daripada Kumpulan Sokongan dan 10 orang awam.

Setakat hari ini, berapa kes yang membabitkan pemimpin Selangor telah berjaya diselesaikan SPRM? Dan, berapa kes pula yang kini dalam siasatan?

Sepanjang tahun 2010 hingga 2015, sebanyak 10 kes telah berjaya diselesaikan dan tiada kes yang masih dalam siasatan SPRM Selangor.

Bagaimana sikap rakyat Selangor dalam isu rasuah?

Sebagaimana disaksikan di negeri-negeri lain, rakyat Selangor juga menzahirkan dan memperlihatkan komitmen untuk memerangi rasuah. Kerjasama orang ramai juga semakin meningkat.

Banyak pihak yang menandatangani Ikrar Integriti dan Ikrar Integriti Korporat (CIP). Ini menunjukkan sikap sukarela dengan mengadakan mekanisme dalaman untuk memerangi rasuah.

SPRM gembira dengan perkembangan ini. Pun begitu, ia belum mencukupi. SPRM berharap sokongan dan kerjasama ini akan bertambah baik pada tahun 2016. Ini penting kerana usaha memerangi rasuah memerlukan sokongan semua pihak.

Orang perseorangan dan agensi atau pertubuhan bukan kerajaan boleh menghubungi kami untuk menjalin kerjasama membanteras rasuah. Baru-baru ini, DYMM Sultan Selangor juga telah bertitah meminta rakyat segenap lapisan masyarakat menjauhi rasuah.

Mesej titah baginda sungguh bermakna. SPRM juga berharap orang ramai akan menerima titah baginda dan melakukan sesuatu. SPRM akan meningkatkan usaha mencegah rasuah di Selangor.

Kerjasama dengan pihak kerajaan Pakatan Rakyat, pemimpin-pemimpin masyarakat, NGO dalam menangani isu rasuah di negeri ini pula bagaimana?

Kerjasama yang diterima adalah baik. Sokongan parti-parti politik ke atas usaha engagement yang dibuat bersama parti-parti politik tersebut juga adalah baik. Sekali lagi saya berharap kerjasama parti-parti politik kepada SPRM akan bertambah dan berkekalan sepanjang masa.

Pada tahun hadapan (2016), kami berharap ahli-ahli politik akan menandatangani Ikrar Integriti untuk menyatakan mereka akan menyokong usaha pencegahan rasuah sepanjang masa.

Apa sasaran SPRM Selangor untuk tahun 2016?

Sasaran SPRM bagi tahun 2016 ialah menyelesaikan isu-isu setempat/masyarakat yang berimpak tinggi untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM melalui Strategi ‘Merakyatkan SPRM’.

Menangani penglibatan ‘orang tengah’ dalam perbuatan rasuah memandangkan isu ini mendapat perhatian tinggi oleh masyarakat dan masyarakat mengharapkan SPRM melakukan sesuatu. Kita juga akan memberi tumpuan lebih kepada kejadian/amalan rasuah di sektor swasta.

TAMBAH LAGI MENTERI BARU NEGARA BOLEH MAJUUUUU !

BILA MNTERI BERTAMBAH MAKA PENDAPATAN RAKYAT BERTAMBAHHHHHHHHHH ! Pak Karamu

Kurang menteri bukan langkah bijak
0
Samsu Adabi Mamat
Samsu Adabi Mamat
SHAH ALAM – Cadangan mengurangkan jumlah menteri sedia ada ketika ini bukan satu pendekatan yang bijak dalam usaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata, langkah mengurangkan jumlah menteri termasuk menangguhkan kenaikan elaun menteri dan ahli Parlimen tidak boleh menyelesaikan masalah besar.

“Cadangan itu hanya boleh menyelesaikan masalah persepsi ‘sekurang-kurangnya kerajaan bersungguh mengurangkan perbelanjaan negara’,” katanya.

Sebaliknya Samsu berpendapat, kerajaan sepatutnya menambahkan bilangan menteri sedia ada bagi memudahkan pengurusan.

“Sebelum ini, pendidikan dan pengajian tinggi diletakkan di bawah satu kementerian dengan seorang menteri, namun mendapat kritikan pihak di sektor pengajian tinggi.

“Bagi memudahkan pengurusan adalah lebih baik pendidikan dan pengajian tinggi diletakkan di bawah dua kementerian berbeza memandangkan terdapat 20 buah universiti awam tidak termasuk universiti swasta,” katanya.

Jelasnya, sudah tiba masa kerajaan memikirkan untuk mewujudkan dua kementerian kesihatan yang menjalankan portfolio berbeza sesuai dengan pertambahan penduduk melebihi 30 juta orang.

“Pertambahan menteri, selain memudahkan pengurusan ia juga sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada rakyat.

“Untuk mengurangkan kos sara hidup, kerajaan harusnya menyelesaikan masalah dari peringkat akar umbi termasuk mereka di kampung, bandar dan penjawat awam,” katanya.

Menurutnya, walaupun gaji penjawat awam dinaikkan (dilihat menambah beban kerajaan), namun ia motivasi kepada rakyat sekali gus meningkatkan ekonomi negara.

“Bagaimanapun (kenaikan gaji) akan menimbulkan masalah lain. Gaji naik, harga barang pun naik. Ini memerlukan penguatkuasaan pemantauan lebih baik berbanding mengurangkan menteri demi perbelanjaan kerajaan,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man  mencadangkan jumlah menteri dikurangkan untuk mengurangkan belanja pengurusan.

Beliau dilaporkan berkata, ia sebagai langkah awal kerajaan mengurangkan kos kerana saiz Kabinet kini tidak sepadan dengan jumlah penduduk.

Turut dicadangkan penangguhan kenaikan elaun menteri dan ahli Parlimen selain mengurangkan lawatan ke luar negara.

PAYAHNYA SEBAB ADA JUDI HARAM DAN HALAL, INI SEMUA SIAPA PUNYA TANGGUNGJAWAB ? JABATAN AGAMA ?

BILA SEBUT PASAL HARAM DAN HALAL INI ADALAH ISTILAH AGAMA, BUKAN ISTILAH KERAJAAN - Pak Karamu
 
Adun minta KPN selesaikan judi haram
0
Adun minta KPN selesaikan judi haram
Poay Tiong (tengah) bersama penduduk mengadakan demonstrasi bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kegiatan judi haram di kawasan mereka.
 
MELAKA - Mengesyaki ada pihak yang melindungi kegiatan judi haram, pemimpin DAP mahu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri turun padang mengetuai operasi membanteras gejala itu di negeri ini. 
 
Malah menerusi status WhatsApp yang dimuat naik, Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong melahirkan maksud serupa dengan mendesak Khalid supaya membantu mengatasi judi haram di Melaka disebabkan ia tidak pernah reda.

Menurut Poay Tiong, biarpun pelbagai cara dibuat termasuk menjalankan operasi merampas peralatan di pusat judi berkenaan tetapi ia masih berleluasa.

“Apabila mereka buat operasi, sebelum pasukan penguat kuasa atau polis sampai, mereka sudah tutup awal, jadi seolah-olah ada orang dalam pecah lubang menyebabkan hal ini tidak boleh selesaikan.

“Sebelum ini, Ketua Polis Negara pernah memuji kononnya Melaka berjaya mengatasi dan membanteras judi haram tetapi apa yang dilihat hanya luaran sahaja sedangkan ia masih banyak dan berleluasa. Saya nak Ketua Polis Negara sendiri ambil tindakan dan ketuai pasukan turun ke Melaka hapuskan judi haram,” katanya.

Poay Tiong berkata demikian selepas menyertai demonstrasi aman bersama kira-kira 20 penduduk dari Taman Merdeka Jaya dan Taman Tamby Chik Karim bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap gejala judi haram.

Dakwanya, bagi mengaburi mata orang ramai dan pihak berkuasa, pengusaha judi haram kini tidak lagi menjalankan kegiatan di premis perniagaan, sebaliknya di kawasan perumahan.

ELOK LA KOTAKAN JANJI, NANTI DITUDUH PULAK MUNAFIK

'Sudah enam bulan, hutang 1MDB macam mana?'
Anina Saaduddin
Anina Saaduddin
 
SHAH ALAM - Bekas ahli Umno, Anina Saadudin hari ini berkata, rakyat Malaysia sedang menanti janji yang pernah dilafaz Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkait isu hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB). 
 
Menurut Anina, tempoh enam bulan yang dijanjikan Najib juga sudah sampai dan beliau perlu mengotakan janjinya itu.

"Rakyat negara ini tidak menantikan bunga api sambutan tahun baru, sebaliknya mereka menunggu janji-janji Najib bahawa 1MDB akan berjaya mengatasi masalah kewangannya menjelang 31 Disember 2015... enam bulan dari tarikh janji tersebut diucapkan," katanya menerusi posting terbaharu di laman sosial Facebook miliknya.

Najib sebelum ini dilaporkan pernah melafazkan janji sebanyak dua kali untuk menyelesaikan kemelut berkait hutang1MDB dalam tempoh enam bulan.

Kali pertama beliau dilapor pernah meminta tempoh enam bulan untuk itu diberikan ialah dalam satu pertemuan tertutup di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 Jun 2015.


Pada Ogos, Najib sekali lagi mengulangi perkara sama dalam satu program di Negeri Sembilan.

TAHUN 016 PAS AKAN PASTIKAN PENGKHIANAT POLITIKNYA MENDERITA

2015 tahun 'gelap' bagi Pas?
1
Pas
 
TAHUN  2015 melakar sejarah hitam buat Pas apabila kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan DAP berakhir di tengah jalan susulan perbalahan antara dua parti pembangkang itu tidak dapat dibendung lagi.  
 
Usul Dewan Ulama Pas itu diluluskan Muktamar Tahunan Pas ke-61 tanpa bahas pada Jun lalu mendapat sokongan sepenuhnya Majlis Syura Ulama (MSU) Pas selepas sebulan mempertimbangkan cadangan itu. 

Tindakan DAP yang didakwa melakukan provokasi berterusan, membuat keputusan mengecam dan melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat termasuk campur tangan dalam aqidah, dasar dan matlamat Pas antara alasan kukuh untuk menamatkan kerjasama itu. 

Bukan setakat itu, kecaman DAP kepimpinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana membawa usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian mengenai pindaan kuasa Mahkamah Syariah di Kelantan turut memberi kesan kepada MSU dalam mempertimbangkan kerjasama itu sejak 2008 lagi. 

Keadaan itu turut mengundang ketidakstabilan Pakatan Rakyat hingga terbubarnya gabungan pembangkang itu kerana pendirian Pas memutuskan hubungan dengan DAP sebaik sahaja Muktamar Tahunan Pas berakhir pada 6 Jun lalu. 

Ia rentetan daripada tindakan DAP sendiri yang terlebih dahulu memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi pada 24 Mac lalu kerana didakwa 'tidak jujur' dalam kerjasama politik itu hingga menyebabkan Pakatan Rakyat terumbang-ambing. 

Perjalanan politik Pas semakin rumit apabila golongan profesional yang mengimbangi kepimpinan parti Islam itu keluar beramai-ramai dan menubuhkan parti baharu. 

Nama-nama seperti bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; bekas Naib Presiden, Salahuddin Ayub; bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat iaitu Khalid Abdul Samad, Hanipa Maidin, Dr Hatta Ramli, Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Dr Siti Mariah Mahmud. 

Mereka ini dikatakan pemimpin pro-Pakatan Rakyat atau lebih tepat lagi dikenali sebagai kumpulan Anwarinas meninggalkan parti Islam itu apabila gagal mempertahankan jawatan masing-masing dan menyertai NGO Gabungan Harapan Baru (GHB). 

Belum pun 'luka' Pas sembuh, NGO itu menambahkan sengsara parti Islam itu apabila menyerang kepimpinan ulama yang kembali mendominasi hierarki teratas Pas selepas Muktamar Tahunan Ke-61, Jun lalu. 

Kumpulan progresif itu yang pada awalnya dinamakan G18 itu hanya meninggalkan Pas selepas Parti Amanh Negara (Amanah) ditubuhkan secara rasmi pada 1 Oktober lalu.

Sehingga kini Pas kehilangan 11 wakil rakyat apabila enam Ahli Parlimen dan lima lagi Adun mereka bertindak melompat parti.

Sepuluh daripada jumlah itu menganggotai Amanah manakala Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar memilih menyertai PKR sebagai platform politik baharunya.

Pas kembali bersendirian selepas 70-an ketika menyertai Parti Perikatan, Barisan Alternatif dan kini gagal pula bertahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat kerana mempertahankan agenda negara Islam dan hukum hudud mendahului kepentingan bersama pakatan pembangkang itu.

Liku Pas dalam arena politik Malaysia tidak terhenti di situ malah dituduh pula bersengkongkol dengan BN apabila berkecuali dengan parti pembangkang lain untuk tidak menyokong Bajet 2016 dan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pas dianggap musuh dalam selimut ketika bersama PR kerana didakwa cenderung untuk menubuhkan kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno.

Khabar angin itu semakin nyata apabila bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa pula mendedahkan bahawa Abdul Hadi pernah mengaku menjadi dalang kepada penubuhan kerajaan perpaduan di Selangor pada 2008.

Pas kembali panas dengan isu kerajaan perpaduan dan kini menunggu untuk bersemuka dengan Dewan Harian Pas Pusat kerana pendedahannya begitu serius kepada masa depan parti Islam itu.

Pas tidak pernah lekang daripada isu dan laluan parti Islam itu menjelang PRU14 semakin sukar kerana 'keangkuhannya' melangkaui kepentingan parti pembangkang lain.

REDHA

Isteri reda, Hasman sempat Skype sebelum kejadian
Isteri reda, Hasman sempat Skype sebelum kejadian
Siti Hazwani, memegang anak sulung mereka, Muhammad Aqil Tahfiz, 3 tahun, dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Norhayati Omar memangku, Muhammad Aqil Solehin di rumahnya.
 
JEMPOL - Isteri, kepada Kapten Hasman Hussin yang ditemui lemas dihanyutkan air deras di Missouri, Amerika Syarikat (AS), Siti Hazwani Ahmad, 29, reda pemergian suaminya dalam kejadian berkenaan. 
 
Siti Hazwani yang juga pegawai pertanian Tampin berkata, dia perlu tenang dengan kejadian ini.

"Saya reda atas pemergiannya dan hanya tunggu jenazahnya tiba di Malaysia. Lagipun saya masih menyusukan anak kembar yang berusia tiga bulan dan perlu menempuh perjalanan yang jauh.

"Saya dihubungi pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memaklumkan penemuan jenazah suami kira-kira jam 8 pagi tadi dan meminta menyediakan pasport untuk dibawa ke AS, tetapi saya tidak dapat pergi.

"Kami sekeluarga sudah berbincang dan sepakat membenarkan ATM menguruskan perjalanan pulang jenazah ke Malaysia. Jenazah dijangka tiba ke Malaysia pada Jumaat ini," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Felda Palong 13 di sini, hari ini.

Hasman merupakan pegawai Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) sedang mengikuti kursus Engineer Captains Career Courses di Fort Leonard Wood, Missouri, Amerika Syarikat mulai 1 Oktober hingga 15 April 2016.

Ketika kejadian, Hasman bersama empat rakan lain menaiki kereta dan dihanyutkan arus deras di Missouri, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Siti Hazwani berkata, dia dapat bersemuka dengan suaminya sehari sebelum kejadian menerusi panggilan video menggunakan aplikasi Skype.

Sementara itu, bapa mangsa, Hussin Mat, 60, berkata, jenazah anaknya itu akan lebih cepat dibawa pulang sekiranya mereka tidak pergi ke AS.

"Saya lebih bersedia menunggu jenazah di sini kerana kalau pergi ke sana mengambil masa lama," katanya.

Sementara itu, arwah meninggalkan balu dan tiga orang anak lelaki, iaitu Muhammad Aqil Tahfisz, 3, pasangan kembar, Muhammad Aqil Solehan dan Muhammad Aqil Solehin, 4, bulan.

Dalam pada tu, difahamkan, arwah dijangka dikebumikan di kampung halaman di kampung Durian Daun Masjid Tanah, Melaka.

SABAH SERING DILANDA GEMPA

Gempa bumi lemah landa Ranau pagi ini
0
Gempa bumi
 
KUALA LUMPUR - Satu gempa bumi lemah melanda daerah‎ Ranau di Sabah dengan kekuatan 3.2 pada skala Richter pada jam 6.17 pagi tadi.  
 
Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata, pusat gempa bumi terletak di 6.0 darjah Utara dan 116.6 darjah Timur, kira-kira 11 kilometer Barat dari
kawasan itu.


Gegaran dirasai di sekitar daerah Ranau, menurut kenyataan itu. - Bernama
free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.