ALOR SETAR - Pas Kedah menyelar kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang cuba memerangkap Pas apabila membuat kenyataan konon hubungan tegang antara Umno-Pas kian mengendur.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi berkata, kenyataan itu bersifat muslihat politik dengan harapan memerangkap Pas mengikut rentak Umno.

“Ia mungkin sebagai satu percubaan membina persepsi kalangan rakyat bahawa Pas sudah lunak terhadap Umno dalam semua perkara. Sebaliknya, Pas sentiasa istiqamah memperjuangkan amar makruf nahi mungkar dalam apa jua situasi atau ketika berhadapan dengan sesiapa sahaja,” katanya.

Menurutnya, Pas tidak pernah berkompromi dengan BN dalam mana-mana isu, sama ada cukai barangan dan perkhidmatan (GST), tekanan terhadap rakyat akibat pelbagai kenaikan oleh kerajaan, kegawatan ekonomi, isu 1MDB, kerugian Felda, penyalahgunaan SOSMA dan pelbagai isu mutakhir.

“Keterbukaan Pas menerusi pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) tidak menyebabkan Pas terjebak dengan politik berasaskan ideologi nasionalis, sosialis mahupun sekularis,” katanya.

Katanya, Pas teguh meletakkan syariat Islam sebagai landasan hala tuju politik negara dalam memperjuangkan kesamarataan hak, pengurusan ekonomi yang adil, pemuliharaan alam sekitar serta hubungan antara kaum.

“Jika Umno/BN umumkan mereka sudah memalu gendang hadapi PRU14 dengan meletakkan sasaran menang 134 kerusi Parlimen, Pas sebagai pembangkang lebih dahulu meletakkan sasaran untuk menumbangkan BN yang sudah terlalu lama berkuasa sehingga menyusahkan rakyat,” katanya.

Menurutnya, malah Pas Kedah sudah siap siaga untuk kembali mengambil alih pentadbiran di Wisma Darul Aman.

“Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung mungkin menjadi persidangan terakhir mereka sebagai kerajaan Pusat jika PRU14 diadakan dalam masa terdekat. Hakikatnya, itulah harapan sebahagian besar rakyat Malaysia,” katanya.