KUALA TERENGGANU  - Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tidak menahan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ekoran tragedi berdarah Memali pada 1985 kerana bimbang rusuhan.

Menurutnya, kerajaan tidak menahan Abdul Hadi ketika itu kerana terlalu ramai pengikut beliau yang fanatik lebih-lebih lagi terhadap amanat dikeluarkan di Banggol Peradong pada 1981 yang mendorong tindakan ‘jihad’ melawan kerajaan.

“Amanat Hadi adalah hasutan supaya rakyat bangun dan bunuh pemimpin kafir, itu makna amanat Haji Hadi. Tetapi, terlalu ramai orang pada masa itu yang fanatik percaya kepada beliau sehingga kalau kita tangkap dan masukkan dalam ISA akan tercetus huru-hara.

“Kerajaan ada terfikir untuk tahan ISA, tapi kita fikir waktu itu negara demokrasi, sekiranya tindakan begitu diambil besar kemungkinan akan tercetusnya huru-hara sebab itulah beliau tidak ditahan di bawah ISA,” katanya ketika berucap dalam pertemuan bersama nelayan dan warga Terengganu, semalam.

Pada perkembangan sama, bekas perdana menteri itu turut menyifatkan tindakan  pengikut fanatik Abdul Hadi (Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya) didakwa lebih kepada membentuk kerajaan bebas Islam seperti IS (kumpulan militan Daesh).