KLUANG - Hasrat Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi PRU14 disifatkan oleh MCA sebagai membawa kehancuran kepada kaum dan negara.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Ahli Parlimen Gelang Patah itu disifatkan tidak mempunyai prinsip dan pandai berputar belit menanam kebencian antara kaum di negara ini.

"Hanya beliau (Kit Siang) sendiri yang tahu sama ada beliau memang bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

"Yang kita tahu, beliau tidak boleh dipercayai. Kita yakin beliau akan membawa kepada perpecahan masyarakat," katanya kepada media selepas majlis bersama rakyat di Restoran Sin Yu Lee, Taman Kota Paloh, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasrat Lim Kit Siang menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi PRU14.