Samun
Lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun ditahan bagi membantu siasatan.
 
KUALA LUMPUR - Seorang penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan jalan raya mendakwa menjadi mangsa samun dua lelaki yang berpura-pura mahu membantunya, di Taman Sri Rampai, di sini, malam kelmarin.

Ketika kejadian pada jam 10 malam itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Wong, 20, dalam perjalanan dari rumahnya di Wangsa Maju ke pasar malam di Taman Sri Rampai.


"Sebuah kereta Proton Perdana melanggar saya dari belakang menyebabkan saya tercampak ke jalan raya di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar malam itu," katanya.


Wong yang bekerja sebagai penghantar mi berkata, pemandu berkenaan mahu menghantarnya ke klinik, tetapi dua lelaki yang tidak dikenali menaiki sebuah kereta Proton Iswara datang ke tempat kejadian dan berpura-pura menghulurkan bantuan.


"Dua lelaki itu memberitahu mahu menghantar saya ke klinik, sebelum salah seorang daripadanya merampas telefon bimbit jenis iPhone 4S.


"Lelaki itu juga memaksa saya berikan wang. Namun saya nekad terjun keluar dari kereta itu dan melarikan diri selama setengah jam dalam keadaan berlumuran darah kerana dikejar lelaki terbabit sebelum sampai ke Balai Polis Wangsa Maju," katanya.


Menurut sumber, anggota polis unit ronda bermotosikal berjaya mengesan kereta yang dinaiki salah seorang lelaki terbabit di Setapak Jaya, kira-kira jam 11 pagi, semalam.


"Lelaki berusia lingkungan 30-an itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berhubung kes samun dan dadah. Polis sedang mengesan seorang lagi lelaki bagi membantu siasatan itu.


"Mangsa cedera di lutut kanan, tangan dan dagu dipercayai akibat kemalangan dan terjun keluar dari kereta tersebut," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan kejadian itu memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan.


Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.