Nurul Izzah Anwar
Nurul (tengah) menunjukkan beberapa salinan laporan polis berhubung serangan musuh politik di Lembah Klang.
 
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menasihatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak menyalahkan beliau sekiranya mengambil tindakan mahkamah.

Katanya, surat bantahan dan permohonan membatalkan senarai pengundi yang meragukan dalam bahagian Parlimen Lembah Pantai telah dihantar dan dicap terima oleh Nur Izdiyani, seorang pegawai kanan SPR pada 5 Mac lalu.

Demikian dakwa Nurul sambil menyifatkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tidak ada kredibiliti kerana menuduhnya mengambil tindakan mahkamah terburu-buru tanpa memaklumkan terlebih dahulu kerumitan itu kepada suruhanjaya itu.

Malah kata Nurul, surat itu juga telah difakskan oleh peguamnya iaitu Chooi & Company yang dihantar pada hari yang sama.

"Semua nama pengundi yang saya bantah bantah itu telah dikemukakan kepada SPR.
"... beliau tidak sepatutnya menyalahkan saya kerana menyaman SPR dalam hal ini walhal dalam surat itu saya turut menyatakan sekiranya SPR tidak beri jawapan bertulis dalam tujuh hari, tindakan mahkamah akan diambil," katanya pada sidang media di pejabat Pusat Khidmat
Masyarakat Parlimen Lembah Pantai, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Abdul Aziz pada Khamis lalu yang menafikan SPR tidak menerima surat daripada ahli parlimen itu yang mendakwa lebih 4,500 pengundi mempunyai alamat tidak lengkap dan tidak dikenal pasti manakala tiga pengundi pula telah meninggal dunia.

Dalam pada itu, Nurul Izzah mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya mengambil tindakan tegas ke atas Umno-Barisan Nasional (BN) Lembah Pantai berhubung dakwaan menimbulkan keganasan politik sejak tahun lalu.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR mendakwa biarpun pihaknya banyak kali membuat laporan polis beserta bukti pelakunya namun hingga kini tiada tindakan tegas diambil ke atas mereka terbabit.

"Gangguan yang ditimbulkan Umno Lembah Pantai terhadap saya bukan saja keganasan berbentuk 'criminal intimidation', malah memperlihatkan tiada ada tertib berpolitik.

"... saya juga mendesak supaya menteri terbabit supaya lakukan sedaya mungkin dalam bidang kuasanya untuk pastikan insiden sebegini tidak berulang," katanya.

Jelas beliau, lebih malang lagi apabila petugas dari pejabat pusat khidmat wakil rakyat kendaliannya menerima ugutan daripada sekumpulan samseng ketika mereka sedang bertugas di khemah PKR di Taman Sri Sentosa Utara, Khamis lalu.

Menurut Ketua Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) Sentosa Utara, Siti Mariam Mohd Aly, sekumpulan samseng terbabit yang menaiki kereta waja itu yang dipercayai didalangi Umno Lembah Pantai.

"Saya dah buat kawat cam muka dan polis kata mereka ini geng tetak dan jual dadah.
"... pihak berkuasa kata mereka itu dikehendaki polis tapi banyak kalai polis cari namun tak temui, padahal mereka ada di situ," dakwanya.

Sehubungan itu, Nurul Izzah mendesak supaya semua parti komponen BN dan Pakatan Rakyat (PR) mewujudkan politik matang dan baru bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.